'Projek Battersea akan disiasat' - Berita Semasa | mStar

'Projek Battersea akan disiasat'

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2018 10:51 AM

Pemandangan tapak fasa pertama (Circus West di Battersea Power Station) yang sedang dibangunkan oleh Battersea Power Station Development Company Limited (BPSDC) syarikat usahasama SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini.
(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Malaysia akan menyiasat projek Stesen Janakuasa Battersea  dan pelaburan hartanah utama 'meragukan' di UK, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada The Guardian semasa lawatan kerja ke Britain.

Akhbar harian Britain itu melaporkan pada Isnin (11 Jun) bahawa Anwar berkata projek tersebut yang dibeli Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diteliti dan dirunding semula sekiranya terdapat sebarang salah laku.

"Semua urusan yang dianggap meragukan termasuk pelaburan perumahan di London perlu disiasat. Ya, termasuk Battersea. Kerana ia dibeli menggunakan dana negara. Kami perlu diyakinkan bahawa ia keputusan pelaburan yang tepat dan tiada pengaruh politik (dalam Malaysia)," katanya.

Ketua Umum PKR itu berkata pelaburan tersebut adalah keputusan politik yang menjangkau ratusan bilion ringgit.

The Guardian melaporkan Anwar turut mempertikaikan komitmen kerajaan Britain untuk membanteras rasuah dan mengkritik sikap sambil lewa mereka untuk menyiasat skandal 1MDB yang beroperasi melalui London.

Beliau memetik Singapura sebagai satu contoh di mana orang telah dipenjarakan dan bank ditutup susulan kontroversi 1MDB.

The Guardian memetik Anwar sebagai berkata beliau sedang mencari sokongan kerajaan Britain dan Setiausaha Luarnya, Boris Johnson untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam siasatan kes 1MDB.

Keseluruhan projek yang dijangka siap menjelang tahun 2028 itu dimilik konsortium pelabur Malaysia terdiri daripada Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd dan KWSP.

Projek berkeluasan 17 hektar itu merangkumi 3.5 juta kaki persegi ruang komersial campuran dan sebanyak 4,364 kediaman baharu.

 

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan