Pegawai khas bekas timbalan menteri tanding Pemuda Umno - Berita Semasa | mStar

Pegawai khas bekas timbalan menteri tanding Pemuda Umno

Diterbitkan: Ahad, 10 Jun 2018 4:01 PM

Khamarulazlan Mohamad Hanafiah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pegawai khas kepada bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M Saravanan akan bertanding dalam barisan kepimpinan Pemuda Umno pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini.

Khamarulazlan Mohamad Hanafiah berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai exco sayap parti itu bagi penggal 2018-2021.

Pemuda berusia 38 tahun yang juga pegawai khas kepada Ahli Parlimen Tapah itu berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi pengajaran yang amat besar atau ‘wake up call’ untuk melakukan reformasi Umno.

“Ahli parti perlu pulihkan semangat, pada masa sama istiqamah adalah kekuatan untuk terus mara menghadapi hari muka. 

“Dalam proses pemulihan parti, kita perlu membawa perubahan untuk  membangkitkan semula jiwa dan semangat bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamarulazlan berkata, perubahan secara menyeluruh dalam Umno perlu dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan akar umbi dan rakyat.

Sehubungan itu Khamarulazlan berkata, parti keramat Umno ini harus bermula dari bawah semula, seperti mentadbir parti baharu dengan membuang ‘budaya elitis dan aristokrat’ yang dibenci sehingga menjadikan mereka ditolak dalam PRU14.

“Saya berazam untuk bersama-sama pucuk pimpinan yang akan dipilih nanti  memperkasakan Pergerakan Pemuda Umno sebagai sebuah perjuangan yang akan bersama membela nasib rakyat terutama golongan muda. 

“Saya bersama sahabat-sahabat lain akan memastikan pergerakan ini akan terus ‘diberi nafas’ dalam menjadi golongan pendesak yang akan mempertahankan dan membela agama Islam khususnya hak-hak orang Melayu serta institusi raja-raja Melayu yang sering diperlekeh dan dipersendakan. 

“Kamilah yang akan menjadi benteng mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” tambah Khamarulazlan yang juga suami kepada jutawan kosmetik, Rita Sosilawati.

Selain Khamarul, antara lain yang menawarkan diri untuk bertanding bagi exco Pemuda Umno adalah penulis blog, Papagomo.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan