Bonus raya Najib 'pengumuman semata-mata', tak ada dalam Bajet 2018 - Berita Semasa | mStar

Bonus raya Najib 'pengumuman semata-mata', tak ada dalam Bajet 2018

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2018 1:41 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Parlimen, 27 Oktober 2017. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bayaran Khas Aidilfitri kepada penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mendapat kelulusan peruntukan tambahan pada sidang Parlimen, Julai ini kerana peruntukan itu tidak dimasukkan dalam Bajet 2018.

Kementerian Kewangan berkata peruntukan yang diumumkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini adalah sekadar pengumuman semata-mata.

"Ada pihak berpendapat bahawa peruntukan permohonan tambahan telah disediakan dalam Bajet 2018 kerana mantan perdana menteri telah mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam dalam Ucapan Bajet 2018 tahun lalu pada 27 Oktober 2017.

"Tetapi sebenarnya, peruntukan bagi pengumuman bayaran tersebut tidak disediakan dalam Bajet 2018. Perkara ini telah disahkan oleh Pejabat Akauntan Negara," menurut kenyataan itu, Sabtu.

Justeru, menurut Kementerian Kewangan, peruntukan bagi menyalurkan bayaran khas berkenaan masih perlu mendapat kelulusan parlimen.

Najib, ketika membuat pengumuman itu berkata semua penjawat awam akan diberikan bayaran khas bernilai RM1,500 dan menerimanya dalam dua peringkat, iaitu RM1,000 pada Januari 2018 dan bakinya menjelang Aidilfitri tahun ini.

Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 5 Tahun 2017 yang berkaitan perkara tersebut telah dibatalkan dan diganti dengan SPANM Bilangan 1 Tahun 2018.

Akauntan Negara Datuk Saat Esa juga mengesahkan bahawa peruntukan tersebut perlu diluluskan dalam sidang Parlimen pada Julai 2018 ini sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2018.

Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir mengumumkan bantuan khas perayaan berjumlah RM400 bagi kakitangan awam Gred 41 ke bawah dan RM200 untuk pesara kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudiannya memaklumkan bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM700 juta yang akan dibentang menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan pada sidang Parlimen Jun ini.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: bonus raya , Najib Razak , Bajet 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan