Surat amaran dikeluarkan kepada peniaga gagal pamer tanda harga, masih kekalkan GST - Berita Semasa | mStar

Surat amaran dikeluarkan kepada peniaga gagal pamer tanda harga, masih kekalkan GST

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2018 4:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu mengeluarkan 10 surat amaran kepada peniaga atas pelbagai kesalahan  sejak 1 Jun lepas sehingga Jumaat.

Pengarahnya, Shaharuddin Mohd Kia berkata kesalahan itu termasuk gagal mempamerkan tanda harga, tidak menukar tanda harga dan masih mengekalkan harga sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar peratus.

“Kita selalu ingatkan pengguna supaya segera melaporkan kepada KPDNKK jika terdapat sebarang manipulasi harga oleh peniaga.

“Setakat  1 Jun lalu iaitu sejak bermulanya GST pada kadar sifar peratus, kita menerima 11 aduan, mengeluarkan 10 surat amaran dan 11 notis kepada peniaga.

“Oleh itu, kita ingatkan  peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan atau tindakan tegas bakal menanti mereka,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Pasaraya Sabasun di sini pada Sabtu.

Seramai 116 pegawai  penguatkuasa dan 60 pegawai pemantau harga ditugaskan memantau harga barangan di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Shaharuddin turut menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan meletakkan harga terlalu tinggi jika bekalan makanan atau barang jualan diperoleh dengan harga rendah.

“Jika kita tengok hari ini, 22 jenis barangan disenaraikan dalam barangan harga kawalan dan peniaga perlu mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.

“Tetapi sekiranya mereka mendapat bekalan dengan lebih murah, peniaga boleh memberi kerjasama dengan meletakkan harga berpatutan bagi membantu pengguna pada bulan Syawal ini dan juga dalam suasana  Ramadan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pemeriksaan terhadap barangan tersebut akan dilakukan dari semasa ke semasa, dan bukan pada musim perayaan sahaja. - Bernama

Tags / Kata Kunci: KPDNKK
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan