Menteri, timbalan & SU Politik wajib isytihar harta - PM - Berita Semasa | mStar

Menteri, timbalan & SU Politik wajib isytihar harta - PM

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2018 2:44 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dikehendaki mengisytihar harta masing-masing kepada perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan langkah itu berkata maklumat yang diterimanya tidak akan disembunyikan, sebaliknya akan turut disampaikan kepada agensi-agensi bertanggungjawab berkenan pencegahan rasuah.

“Perdana menteri tidak boleh sembunyi rasuah yang dilakukan oleh pegawai atau anggota pentadbiran yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai ueutuhan pengurusan kerajaan di Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Selain itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat tersebut turut memutuskan pegawai kerajaan tidak dibenarkan memegang lebih daripada lima jawatan bagi mengelakkan masalah penyelewengan dalam pemberian kontrak.

Menurut perdana menteri, kerajaan mendapati terdapat pegawai kerajaan yang memegang sehingga 68 jawatan dalam pelbagai syarikat.

“Ini akan dikurangkan, tak boleh lebih daripada lima (jawatan), bahkan kita tidak galak pegang dua atau tiga jawatan pun.

“Sepatutnya pegang satu jawatan sahaja tetapi kita tidak dapat elak daripada sesetengah pegawai yang perlu pegang jawatan dalam anak syarikat milik kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata anggota pentadbiran dan pegawai tinggi kerajaan juga tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah dengan tindakan akan diambil terhadap pemberi dan penerima hadiah terbabit.

“Kalau sesiapa nak bagi hadiah kepada saya, saya takut kepada Abu Kassim, saya takkan terima. Tetapi boleh bagi bunga, makanan dan buah-buahan tetapi tidak lebih daripada itu, kita tolak kereta semua,” katanya secara berseloroh.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pemilihan Abu Kassim sebagai ketua pengarah GIACC adalah atas pengalamannya dalam usaha mencegah rasuah termasuk pernah berkhidmat sebagai ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Beliau juga mempunyai pengalaman antarabangsa berhubung beberapa agensi anti-rasuah yang lain dan kita sekarang akan menggunakan panduan yang dibuat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan strategi untuk melawan rasuah,” katanya.

Dr Mahathir turut mengesahkan walaupun GIACC ditubuhkan, SPRM akan terus kekal sebagai badan bebas menangani isu rasuah di negara ini.


“Koordinasi ya, tetapi bukan kerjasama,” katanya ketika ditanya sama ada GIACC akan bekerjasama dengan SPRM.

Dr Mahathir berkata kesemua keputusan itu diambil kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius dalam usaha membanteras penyelewengan dalam pentadbiran yang menyebabkan kerajaan kehilangan banyak dana.

“Ada satu kes melibatkan sebuah syarikat yang membekalkan elektrik kepada sekolah dengan kontrak RM1 bilion. Syarikat ini tidak buat apa-apa pun, tetapi sudah kutip duit daripada kerajaan,” katanya.

- Bernama


Tags / Kata Kunci: Mahathir , Abu Kassim
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Isnin, 11 Jun 2018 8:00 AM

Ramadan anak Chow Kit

Kolumnis

iklan

Iklan