Datuk Bandar NZ kelahiran M'sia gesa kerajaan mudahkan saluran THM dari luar negara - Berita Semasa | mStar

Datuk Bandar NZ kelahiran M'sia gesa kerajaan mudahkan saluran THM dari luar negara

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2018 11:23 AM

Gurunathan

Gurunathan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Bandar Kapiti Coast di Wellington, New Zealand, K. Gurunathan menggesa kerajaan untuk mengaturkan pejabat diplomatik luar negaranya di seluruh dunia bagi memudahkan sumbangan disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia (THM).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Gurunathan yang merupakan anak jati Pulau Pinang berkata, inisiatif itu akan menambah baik hubungan wakil diplomatik Malaysia dan diaspora Malaysia.

"Saya melihat sumbangan kewangan peribadi bukanlah sebagai sumbangan kecil dalam membantu menyelesaikan beban hutang Malaysia tetapi lebih kepada menyokong komitmen Kerajaan Pakatan Harapan terhadap kedaulatan undang-undang demokratik dan ikrar mereka menentang politik perkauman dan rasuah," katanya.

Gurunathan berkata, beliau akan membuat sumbangan sebanyak NZ$1,000 (RM2,796) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, minggu depan.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia di New Zealand dan seluruh dunia agar menyokong kempen itu, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya sejuta rakyat Malaysia di seluruh dunia dengan 18,000 orang daripadanya berada di New Zealand.

THM itu ditubuhkan oleh Kerajaan selepas ramai rakyat Malaysia menyuarakan hasrat mereka untuk membantu negara mengurangkan hutang sebanyak RM1 trilion.

Tabung yang dilancarkan pada 30 Mei lalu, mencatatkan dana berjumlah RM49 juta setakat 7 Jun.

Tags / Kata Kunci: Gurunathan , Tabung Harapan Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan