Ahmad Zahid nafi bertemu, rayu PBB jangan tinggalkan BN - Berita Semasa | mStar

Ahmad Zahid nafi bertemu, rayu PBB jangan tinggalkan BN

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2018 5:57 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan bertemu Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi merayu parti itu tidak meninggalkan BN.

"Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuan saya.

"Malah saya tidak bertemu dengan Datuk Patinggi Ketua Menteri dan merayu agar PBB tidak meninggalkan BN, seperti yang dilaporkan.

"Namun saya amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Malah Ahmad Zahid berkata, BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat.

"Saya juga berharap agar tidak ada pihak yang melaporkan berita secara serkap jarang dan kurang profesional," katanya.

Sebelum ini, The Star melaporkan parti-parti komponen BN Sarawak akan bertemu pada 12 Jun ini untuk memuktamadkan mengenai kedudukannya dalam parti itu.

Malah sebuah portal berita dalam talian sebelum ini melaporkan bahawa Abang Johari telah memberitahu Ahmad Zahid bahawa PBB akan musnah jika tidak menjauhkan diri daripada BN.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , PBB , BN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan