Misteri fail merah masih disiasat - Berita Semasa | mStar

Misteri fail merah masih disiasat

Diterbitkan: Sabtu, 2 Jun 2018 3:26 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN:  Proses siasatan berkenaan rahsia "fail merah" yang didakwa mengandungi perkara berkenaan penyelewengan dan skandal membabitkan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang dijalankan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata proses siasatan itu dipertanggungjawabkan kepada syarikat perakaunan dan audit dalaman yang dilantik untuk memastikan siasatan lebih komprehensif.

"Syarikat perakaunan akan membuat siasatan sedaya upaya  dan tiada had masa tetapi saya yakin akan dijalankan (diselesaikan) secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara agensi Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan George Town dengan Kedutaan Perancis, Kuala Lumpur di sini, Sabtu.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kenyataan Lim berhubung fail merah berkenaan yang sebelum ini didakwa cuba disorok oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam wawancara dengan akhbar itu, Guan Eng dilapor berkata sebelum ini kesemua fail tersebut tidak boleh diakses kerana kerajaan BN menghalang auditor dan pegawai yang bertanggungjawab untuk menelitinya secara profesional dan integriti.

Dalam perkembangan lain, Lim memuji langkah kerajaan negeri Pulau Pinang yang memotong 10 peratus gaji ketua menteri dan 10 anggota Exco  untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Jumlah  kutipan THM dikemas kini setiap hari pada 3 petang di laman web Kementerian Kewangan.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Fail merah , 1MDB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan