"Saya diburu umpama penjenayah, pengkhianat negara" - Jamal - Berita Semasa | mStar

"Saya diburu umpama penjenayah, pengkhianat negara" - Jamal

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2018 5:08 PM

Jamal menghantar rakaman video mengenai kegagalannya hadi ke balai polis pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Datuk Seri Jamal Md Yunos masih gagal hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan seperti mana yang dijanjikan pada pukul 2 petang, Rabu.

Pada Selasa, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu telah memberi jaminan akan hadir ke balai untuk memberi keterangan berhubung kemelut yang dihadapinya ketika ini.

Namun, hanya kelibat peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin sahaja yang dilihat di IPD Ampang Jaya.

"Sehingga 3.30 petang anak guam saya tidak hadir tanpa sebarang maklumat. Namun saya dan pasukan peguam akan terus bekerjasama dengan polis mengenai situasi ini.

"Jika ada sebarang maklumat saya akan datang kembali ke IPD ini.

"Saya berharap pihak polis memberi pertimbangan yang sejawarnya. Apa yang polis nak ambil selepas ini perlu ikut peraturan dan peraturan yang sedia ada.

"Dan polis ada kuasa menahannya," ujar Mohd Imran kepada media.

Mohd Imran berkata, beliau berharap anak guamnya itu dapat tampil segera dan menjelaskaan apa yang berlaku.

"Saya dan pasukan peguam akan pastikan hak-hak anak guam dipelihara secara peribadi dan kami akan terus memberi nasihat kepadanya."

Sementara itu,  biarpun kelibatnya tidak kelihatan di balai polis, Jamal telah menghantar kenyataan berkaitan kegagalannya hadir ke balai polis hari ini menerusi rakaman video.

Peguam Mohd Imran. Foto: FAIHAN GHANI/The Star

Menurut Jamal, beliau bukan menolak perlaksanaan undang-undang terhadapnya.

"Tetapi apabila nama saya disenarai hitam oleh Imigresen dan diletakan dalam pemerhatian polis sebagai orang yang berbahaya sehingga mengikut maklumat saya boleh ditahan dibawah akta yang tidak memungkinkan saya akan dilepas dengan jaminan.

"Cara undang-undang melayan saya seolah-olah saya bukan seorang warganegara yang dijamin hak serta kepentingan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Rumah saya diserbu, keluarga saya diburu ketakutan dan cara polis memburu saya seolah-olah mereka ditekan oleh penguasa yang berkuasa sekarang dan saya dilihat seolah-olah melakukan jenayah berat serta mengkhianati negara yang saya cintai ini," jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Katanya, beliau akan menyerah diri namun memerlukan sedikit masa.

"Saya akan tampil di balai polis untuk menyempurnakan dokumentasi jaminan saya namun saya berharap pihak polis memberikan sedikit masa kepada saya."

Tags / Kata Kunci: Jamal Mohd Yunos
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan