Bubar atau kekal Jakim, kerajaan PH belum buat keputusan - Berita Semasa | mStar

Bubar atau kekal Jakim, kerajaan PH belum buat keputusan

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2018 2:45 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan belum membuat sebarang keputusan berkaitan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebuah kumpulan yang dianggotai ulama dan individu yang berpengetahuan dalam bidang agama akan berbincang mengenai peranan Jakim di negara ini.

"Sama ada Jakim akan dikekalkan seperti sekarang ataupun tujuan asalnya akan dihidupkan semula, kita akan tentukan supaya Islam di negara ini tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, sebenta tadi.

Beliau berpandangan, pendekatan yang digunakan Jakim bukan menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.

"Itu sebenarnya bukan agama Islam... agama Islam tidak sedemikian dan banyak larangan dalam Islam tidak diamalkan oleh kita.

"Sebaliknya kita fikir cara-cara lain yang tidak pun datang dari Islam untuk kononnya menunjukkan agama Islam, agama yang cukup keras dalam pelaksanaannya.

"Dengan perkataan lain kita lebih suka memaksa daripada ajaran Al-Quran bahawa tiada paksaan dalam Islam," katanya.

Sejak kebelakangan ini, media melaporkan wujud desakan supaya Jakim dihapuskan secepat mungkin, kononnya demi kesejahteraan negara.

Suara sumbang segelintir pihak itu turut menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia.

Jakim ditubuhkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal dan industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.

Tags / Kata Kunci: Tun M , Jakim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan