MAHB sedia bincang kaji semula caj perkhidmatan penumpang - Berita Semasa | mStar

MAHB sedia bincang kaji semula caj perkhidmatan penumpang

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2018 9:31 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menemui Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk membincangkan mengenai langkah mempercepatkan kajian semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan domestik, Asean dan antarabangsa.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata beliau melihat langkah tersebut secara positif yang dijangka memberi kesan baik kepada industri penerbangan negara.

"Kalau dulu kita semak PSC setiap lima tahun (kali terakhir disemak pada 2017) tetapi jika dipercepatkan, alhamdulillah.

"Beliau pun faham, PSC ini bukan hanya untuk MAHB tetapi  untuk pembaharuan dan perluasan lapangan terbang. Itu yang akan kita bincangkan nanti," katanya kepada pemberita pada  Majlis Berbuka Puasa MAHB di sini pada Isnin.

Katanya beliau akan menemui menteri tersebut berhubung keperluan pelaksanaan caj PSC untuk semua lapangan terbang.

"Kadar PSC yang dikenakan di lapangan terbang domestik dan antarabangsa adalah seragam tetapi kita juga mempunyai 18 padang terbang yang tidak dikenakan caj tersebut.

"Oleh itu, kita perlu ambil kira kita ada 39 lapangan terbang termasuk padang terbang di Malaysia dan kita perlu seimbang mengenai caj yang dikenakan," katanya sambil menambah perjumpaan MAHB dengan Loke dijangka diadakan sebelum perayaan Aidilfitri.

Terdahulu, Loke dilaporkan telah mengarah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mempercepatkan kajian semula PSC bagi penerbangan domestik, Asean dan antarabangsa.

Menteri itu berkata Mavcom dijadualkan mengumumkan kadar baharu pada 1 Januari 2020, namun beliau sudah mengarahkan kajian semula dilaksanakan secepat mungkin dan berharap kadar baharu diumumkan seawal tahun depan.

Katanya ia susulan arahan penyeragaman kadar PSC di semua lapangan terbang seluruh negara bermula Januari lalu, dengan RM11 bagi penerbangan domestik, RM35 (Asean) dan RM73 (destinasi antarabangsa selain Asean). - Bernama

Tags / Kata Kunci: MAHB , Mavcom
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan