Tradisi puasa Adamdidam wajib ada capati! - Berita Semasa | mStar

Tradisi puasa Adamdidam wajib ada capati!

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2018 8:47 AM

Tahun ini, Adamdidam akan menjalani ibadah puasa di Malaysia.

(Ubah saiz teks)

DIAM tak diam sudah dua tahun Chef Adamdidam menempa nama sebagai personaliti media sosial dan sudah memiliki lebih 312,000 pengikut di Instagram.

Minatnya yang mendalam dalam bidang masakan membuka laluan kepadanya untuk menceburi industri hiburan apabila ditawarkan peluang untuk berlakon dan mengacarakan program masakan.

Jika sebelum ini, Adamdidam atau Adam Mahamed Ismail hanya dikenali melalui skrin telefon pintar, tahun ini popularitinya semakin melonjak dan mula mengumpul peminat tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Adamdidam selesa ‘berasap’ di dapur

Biarpun jadualnya semakin padat dengan pelbagai program, namun bagi Adamdidam, interaksi bersama pengikutnya tetap akan diutamakan.

Sebelum bergelar chef, Adamdidam berkhidmat di syarikat cari gali terkemuka negara.

"Tahun lepas tak masuk lagi dalam industri, jadi orang tak kenal lagi kecuali melalui Instagram.

"Tahun ni rasanya (sambutan Ramadan) berbeza, orang mula menjangkakan adakah tahun ini saya berpuasa dan raya di Malaysia? Bila nak balik ke UK (United Kingdom)?

"Benda itulah yang menjadi interaksi dengan pengikut. Sekurang-kurangnya interaksi dengan mereka pada bulan Ramadan sedikit sebanyak membuatkan mereka rasa sendiri perbezaan mengikuti saya di Instagram...boleh tengok menu ni berlainan dengan bulan yang lain," katanya ketika ditemui mStar Online di Bangsar baru-baru ini.

Kata Adamdidam, jika sebelum ini hampir lima tahun beliau menyambut Ramadan di UK, tahun ini pemuda berusia 28 tahun itu akan menemani kedua ibu bapanya untuk berpuasa di Malaysia.

Adamdidam bersama ketiga-tiga anak saudaranya yang juga memiliki pengikut tersendiri di laman Instagram @thefamily.uk.

Saat yang paling dirindui oleh bapa saudara trio popular @thefamily.uk tentang pengalaman berpuasa di Malaysia adalah peluang melakukan semua aktiviti bersama dengan kedua orang tuanya.

"Dah lama tak rasa puasa dekat Kelantan. Tahun ini akan berpuasa di Kelantan dan Kuala Lumpur.

"Saya rindu nak ada saat untuk bersahur, solat subuh, maghrib dan isyak berjemaah serta masak untuk berbuka bersama-sama keluarga," katanya.

Tambah Adamdidam, usia orang tuanya yang sudah menjangkau 60-an menyebabkan kedua-dua mereka sudah tidak kuat untuk berpuasa selama 18 jam di UK.

Selain itu, Adamdidam berkata, hidangan wajib yang perlu ada semasa berbuka puasa bersama keluarganya adalah capati.

Adamdidam dan kedua ibu bapanya ketika bercuti di Thailand pada awal tahun ini.

“Itu sudah menjadi tradisi keluarga memandangkan kami ada darah campuran Pakistan dan Thailand… jadi selama sebulan Ramadan memang akan makan capati.

“Kuih wajib pula adalah kuih bakar. Saya sanggup memandu dari Kota Bharu ke Rantau Panjang untuk membelinya walaupun kadang-kadang terpaksa beratur selama sejam,” ujar bekas perancang strategik di sebuah syarikat cari gali swasta itu.

Jejaka yang pernah mengikuti kursus intensif pendek di institusi pendidikan hospitaliti terbesar dunia, Le Cordon Bleu di London, UK itu memberitahu bahawa jadualnya pada bulan Ramadan agak padat kerana beliau baru berjinak-jinak untuk menjual produk sendiri.

Beliau berasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada para pengikutnya untuk merasa sendiri biskut keluarannya setelah muncul sebagai pemenang tempat ketiga program masakan Hero Oven.

Kuih tart nenas menjadi taruhan pertama Adamdidam pada Aidilfitri tahun ini dan berharap ia menerima sambutan baik daripada pengikut setianya.

Tajaan lokasi: VE Hotel & Residences, Bangsar South di Kuala Lumpur.

Tags / Kata Kunci: Adamdidam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan