Najib sindir kerajaan, ekonomi kukuh selepas 'dua minggu lebih' - Berita Semasa | mStar

Najib sindir kerajaan, ekonomi kukuh selepas 'dua minggu lebih'

Diterbitkan: Ahad, 27 Mei 2018 10:48 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasa hairan bagaimana ekonomi negara yang didakwa tenat sebelum ini, mampu pulih dalam masa yang singkat.

"Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU14 kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.

"Cuma dua minggu lebih sahaja?," tulisnya di Twitter malam Sabtu.

Najib merujuk kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai asas ekonomi kukuh walaupun perlu memperbaiki keadaan fiskal semasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai bagaimana kerajaan berhasrat untuk mengembalikan keyakinan kepada para pelabur dengan pengumuman bahawa jumlah hutang sebenar negara mencecah 80 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Guan Eng pada Khamis menjelaskan jumlah hutang RM1 trilion yang didakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir termasuk RM199.1 bilion dalam jaminan kerajaan dan RM201.4 bilion dalam bayaran pajakan untuk kerjasama awam dan swasta.

Najib, pada bulan terakhirnya menjadi perdana menteri berkata jumlah hutang sebenar adalah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus KDNK.

Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Lim Guan Eng , ekonomi negara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan