Najib, mana pergi RM33 bilion? - Berita Semasa | mStar

Najib, mana pergi RM33 bilion?

Diterbitkan: Ahad, 27 Mei 2018 8:00 PM

lim guan eng

Lim Guan Eng. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) pada Ahad membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai pelaburan bernilai AS$8.33 bilion (RM33 bilion) yang dibuat oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara 2009 dan 2013, dan meminta bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab ke atas beberapa transaksi tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, daripada terus membahaskan sama ada pembayaran 1MDB sebanyak RM6.98 bilion itu sebagai penyelamat oleh MoF, adalah 'lebih produktif'' jika Najib menjawab beberapa persoalan baharu.

Dalam kenyataannya pada Ahad, beliau bertanya tiga soalan:

1. Di manakah sejumlah AS$1.83 bilion yang dilaburkan dengan Petrosaudi International Ltd antara tahun 2009 hingga 2011? 

2. Di manakah sebanyak AS$3.5 bilion yang dikumpul pada 2012 untuk tujuan memperoleh loji janakuasa di Malaysia? 

3. Di manakah sejumlah AS$3 bilion yang dikumpul pada 2013 untuk melabur di Tun Razak Exchange (TRX)? 

Mengenai RM6.98 bilion yang dibayar oleh MoF bagi pihak 1MDB, Guan Eng berkata, pembayaran dibuat berhubung pinjaman yang tidak berkaitan sama sekali dengan projek hartanahnya 1MDB, termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Ia sebaliknya dibuat untuk membayar faedah kupon tiga terbitan bon-bon 10 tahun bernilai AS$3.5 bilion yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012, bon 30 tahun berjumlah RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009, dan bon 10 tahun bernilai AS$3 bilion diterbitkan pada Mac 2013 - dan membayar pendahuluan AS$1.2 bilion daripada International Petroleum Investment Corp (IPIC) Abu Dhabi.

Bon bernilai AS$3.5 bilion bertujuan untuk memperoleh aset loji janakuasa. Walaupun aset tersebut telah dilupuskan dan hasilnya telah digunakan sepenuhnya, bon masih tertunggak.

Bon RM5 bilion digunakan terutama untuk pelaburan 1MDB yang gagal dengan PetroSaudi International.

Bagi bon bernilai AS$3 bilion, ia bertujuan untuk membiayai pembangunan TRX, namun Ketua Audit Negara melaporkan dana yang dikumpul itu tidak digunakan untuk tujuan berkenaan.

Pembayaran itu juga dibuat untuk membayar sepenuhnya pendahuluan AS$1.2 bilion daripada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) Abu Dhabi (IPIC) dengan pendahuluan dibuat pada April 2015 untuk membayar balik pinjaman AS$975 juta daripada konsortium yang diketuai oleh Deutsche Bank, katanya.

"Oleh itu, mengapa pulangan daripada projek-projek hartanah, tanah yang pada asalnya diperoleh murah daripada kerajaan, digunakan untuk membayar segala hutang 1MDB yang lain?," katanya.

"Berdasarkan semua fakta dan angka ini, tidak ada penerangan lain ke atas pembayaran RM6.98 bilion oleh MoF bagi pihak 1MDB setakat ini, selain menggambarkannya sebagai penyelamatan tunggal terbesar dalam sejarah oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Guan Eng berkata, MoF akan bekerja rapat dengan Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bagi memperoleh kebenaran sepenuhnya mengenai MDB untuk mendapatkan semula sebahagian besar dana yang hilang dan dicuri, untuk menampung hutang dan defisit yang diwujudkan oleh pentadbiran Najib.

Pendedahan itu juga akan membantu kerajaan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal rasuah terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: 1MDB , MoF , Lim Guan Eng , Najib Tun Razak
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Isnin, 11 Jun 2018 8:00 AM

Ramadan anak Chow Kit

Kolumnis

iklan

Iklan