Anwar tak lupa jasa rakyat - Berita Semasa | mStar

Anwar tak lupa jasa rakyat

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2018 10:46 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kebebasan yang dikecapi sekarang adalah kerana kebijaksanaan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan.

Ketua Umum PKR itu berkata tanpa kebijaksanaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum adalah mustahil berlaku perubahan yang besar dalam sejarah pemerintahan negara ini.

"Saya takkan ada di sini kalau rakyat tidak menentukan…ia adalah rakyat Malaysia tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain yang menggemparkan negara dan memberi saya kebebasan.

"Saya tidak akan lupa jasa rakyat dan perjuangan mereka. Ini pengajaran bagi saya. Jangan lupa kamu bebas kerana rakyat," katanya pada Pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seberang Perai Arena, di sini, Jumaat malam.

Turut hadir, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri.

Sehubungan itu, Anwar berkata setiap pemimpin PH yang dipilih perlu membalas jasa rakyat dan jangan sesekali mengkhianati amanah dan harapan rakyat.

Beliau berkata pemimpin PH juga jangan melenting sekiranya dikritik dan ditegur oleh rakyat serta media sebaliknya mereka perlu memberi penjelasan kepada setiap teguran dan kritikan yang dibuat.

"Sekarang baru lagi, kita nampak media banyak puji. Tapi sebaik 'settle down', media berhak mengkritik kerana cara media mengampulah pemimpin rosak.  "Sebab itu kita mesti terima kenyataan daripada media, suara rakyat harus bebas untuk berikan pandangan dan teguran," katanya.

Anwar berkata sebagai penghargaan kepada rakyat, beliau akan mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk menyatakan terima kasih kepada rakyat Malaysia.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Anwar , Permatang Pauh , iftar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan