'Raja Bomoh' lawat kediaman Najib - Berita Semasa | mStar

'Raja Bomoh' lawat kediaman Najib

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2018 8:31 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua minit selepas konvoi Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Taman Duta dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raja Bomoh dilihat melawat rumah bekas perdana menteri itu.

Menaiki kereta Jaguar hitam dengan perkataan 'Raja Bomoh' pada plat kenderaannya, Ibrahim Mat Zin keluar dari tempat duduk penumpang.

Dia yang memakai baju hitam dan bersongkok, berdiri di luar kenderaan mewahnya selama kira-kira lima minit apabila apabila pemberita yang berkhemah di luar rumah Najib bergegas mendapatkan komennya.

Ibrahim berkata dia datang untuk melihat sendiri situasi di Taman Duta.

"Datang nak menziarah je. Nak tengok sejarah.

"Tak, tak payahlah saya masuk," katanya.

Ketika ditanya pemberita, dia hanya berkata: "Semoga semua baik-baik sahaja. Kita terus berdoa," sebelum masuk semula ke keretanya dan beredar dari lokasi.

Dia bagaimanapun tidak melakukan apa-apa ritual.

Najib kembali dari ibu pejabat SPRM selepas memberi keterangannya untuk kali kedua berhubung SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ibrahim pertama kali menjadi tajuk berita pada Mac 2014 apabila mengadakan dua ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang.

Dia juga melakukan ritual di Hospital Kuala Lumpur selepas pembunuhan Kim Jong-nam.

Dia telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi tidak muncul pada hari penamaan calon pada 28 April.

Tags / Kata Kunci: Raja Bomoh , Najib razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan