“Penyokong Arsenal macam Nurul Izzah... jemput datang,” – Nik Nazmi - Berita Semasa | mStar

“Penyokong Arsenal macam Nurul Izzah... jemput datang,” – Nik Nazmi

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2018 11:52 AM

Nik Nazmi (kiri) dan Nurul Izzah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kehangatan aksi final Liga Juara-Juara antara Liverpool dan Real Madrid hujung minggu ini semakin dirasai, terutama buat penyokong dua kelab gergasi itu.  

Bahangnya turut dirasai Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan penyokong tegar pasukan Liverpool.

Bagi memeriahkan pesta bola yang ditunggu-tunggu itu, PKR Setiawangsa dan Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa menganjurkan sesi menonton perlawanan aksi final itu secara langsung bersama beliau awal pagi Ahad ini.

“Siaran langsung Liga Juara-Juara bersama Nik Nazmi, Liverpool lawan Real Madrid. 2.30 pagi 27 Mei 2018 di Restoran NZ Wangsa Maju,” menurut keterangan poster yang dimuat naik Nik Nazmi di akaun Twitter miliknya pada Selasa.

Menariknya, poster yang berlatarkan warna merah mengikut tema pasukan ‘Reds’ memaparkan Nik Nazmi memakai jersi Liverpool, yang tertera nombor 11 dengan nama pemain, Mohamed Salah di bahagian belakang.

Malahan, Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara berseloroh turut menjemput penyokong Arsenal ke sesi tayangan itu bagi memeriahkan suasana.

"Kalau ada penyokong Arsenal macam @n_izzah nak rasa macam mana final Liga Juara-Juara jemput datang,” katanya sambil menyertakan pautan akaun Twitter milik Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang merupakan penyokong tegar Arsenal.

Nik Nazmi dan Nurul Izzah antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Menteri Belia dan Sukan yang sehingga kini masih lagi kosong sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya.

Antara Nik Nazmi dan Nurul Izzah, calon-calon lain yang turut disebut adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Pengarah Komunisi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, Nurul Izzah dilaporkan tidak berhasrat untuk menyertai Kabinet, sebagaimana yang ditegaskan oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar dalam satu temuramah, keputusan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dibuat oleh anaknya dan dimaklumkan kepada parti.

Sementara itu, Nik Nazmi pula berkata, peluangnya untuk berada dalam barisan Kabinet khususnya menerajui Kementerian Belia dan Sukan ditentukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan