"Label pengkhianat negara tuduhan berat" - Dzulkifli - Berita Semasa | mStar

"Label pengkhianat negara tuduhan berat" - Dzulkifli

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2018 1:38 PM

Dzulkifli Ahmad.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tan Sri Dzulkifli Ahmad membidas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang melabelkan beliau sebagai ‘pengkhianat negara’.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memandang serius kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai satu tuduhan yang berat. 

“Sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Malaysia, saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi.

“Dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘pengkhianat negara’,” katanya Dzulkifli dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Shukri Abdull. Foto MOHD SAHAR MISNI

Bagaimanapun, Dzulkifli berkata, Mohd Shukri telah menghubunginya dan membuat permohonan maaf di atas kenyataan tersebut.

“Datuk Seri Shukri telah menghubungi saya pada pagi ini melalui WhatsApp dan sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sidang media tersebut semalam.

“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” ujarnya.

Kenyataan ‘pengkhianat negara’ dibuat Mohd Shukri pada sidang media pertamanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Selasa.

Shukri berkata, beliau memohon persaraan awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli yang dianggapnya pengkhianat.

Beliau berkata, Dzulkifli kurang integriti dalam menjalankan siasatan skandal RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perlantikan semula Mohd Shukri selepas Dzulkifli memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan agensi itu. 

Mohd Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016 dengan jawatan terakhir yang dipegang beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Tags / Kata Kunci: SPRM , Dzulkifli Ahmad , Mohd Shukri Abdull
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan