Malaysia tak akan bankrap di bawah Pakatan Harapan - Berita Semasa | mStar

Malaysia tak akan bankrap di bawah Pakatan Harapan

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2018 9:46 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan yang baharu Lim Guan Eng yakin Malaysia tidak akan bankrap dan “kesihatan” kewangan negara dalam keadaannya sekarang boleh dipulihkan.

Guan Eng yang memulakan tugas hari ini berkata hutang kerajaan yang kini mencecah RM1 trilion antara lain akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dipulihkan apabila kerajaan kembali ke prinsip asas sistem kewangan iaitu cekap, akuntabel dan telus.

“Selain itu, pegawai yang berkepakaran dibenarkan menjalankan tugas secara profesional dan berintegriti. Saya rasa ini penting. Sekiranya kita boleh buat demikian saya yakin sistem kewangan negara kita boleh pulih,” katanya pada sidang media di sini Selasa.

Guan Eng ditanya sama ada hutang negara akan menjadikan Malaysia bankrap.

Beliau menegaskan, “Sekiranya di bawah kerajaan lama, ia akan bankrap tetapi di bawah kerajaan sekarang, kita akan selamatkan negara”.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) berikutan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baru selesai.

Ditanya tentang agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, Guan Eng berkata pihaknya difahamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan kongres mengenai perkara tersebut dan pihaknya menyokong usaha itu.

Mengenai Bajet 2019, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan memulakan proses penyediaan bajet.

“Tarikh pembentangan bajet akan diumumkan selepas merujuk kepada perdana menteri,” katanya.

Mengenai tuduhan rasuah yang dibuat kerajaan sebelum ini terhadapnya, Guan Eng berkata itu semata-mata satu tuduhan bermotifkan politik.

“Ia tidak berasaskan hal yang sebenarnya… saya tidak boleh tambah lebih daripada itu kerana kita kena biarkan proses mahkamah berjalan,” katanya.

Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dalam kes rasuah melibatkan pembelian lot tanah dan sebuah rumah di bawah nilai pasaran.

Harta itu terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini dibeli daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Semalam, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng semasa kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi George Town Datuk Hadhariah Syed Ismail, berkata Guan Eng dan Phang akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan kes rasuah itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Pakatan Harapan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan