Ramadan kembali, pengemis asing muncul lagi! - Berita Semasa | mStar

Ramadan kembali, pengemis asing muncul lagi!

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2018 9:29 AM

Seorang pengemis bersama anaknya kelihatan menunggu orang ramai menghulurkan wang untuknya meneruskan kehidupan ketika tinjauan fotoBERNAMA di hadapan sebuah bank, baru-baru ini. Setiap kali Ramadan kelibat pengemis warga asing pasti akan kelihatan di sini bertujuan bagi meraih simpati serta mengambil kesempatan kemurahan hati penduduk di negara ini.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Setiap kali menjelang Ramadan kelibat pengemis asing khususnya dari wilayah Selatan Thai akan kelihatan di sekitar bandar ini.

Ada antara mereka datang dengan kaki atau tangan kudung, warga emas dan ibu-ibu separuh umur yang membawa bayi kecil yang pasti menarik simpati orang ramai terutama dalam Ramadan ketika masyarakat Islam mudah bersedekah kerana mengharapkan ganjaran pahala berlipat ganda.

Namun, apa yang dipersoalkan, apakah mereka ini datang atas usaha sendiri atau didalangi sindiket hingga sebahagian besar dari kutipan sedekah mereka dikatakan masuk ke poket dalang sindiket?.

Tinjauan mendapati pengemis ini datang seminggu sebelum Ramadan.

Jangkaan pengemis ini didalangi sindiket diperkuat dengan hakikat bahawa mereka ini datang dengan menyewa rumah kediaman dengan bayaran antara RM300 dan RM450 sepanjang Ramadan.

Operasi pengemis ini tertumpu di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar, di sekitar bank, bazar Ramadan dan masjid.

Pengemis ini juga didapati menjadikan masjid sebagai tempat mereka berbuka puasa dan berehat pada waktu malam selepas tarawih.

Seorang jemaah Masjid Muhammadi di sini, Hanipah Mohamed, 47, berkata setiap kali Ramadan akan ada kumpulan pengemis asing berlegar-legar sekitar masjid itu meminta sedekah daripada orang ramai.

Katanya, kumpulan ini biasanya dari wilayah selatan negara jiran dan ada kalanya datang bersama anak-anak kecil dan berkeliaran di sekitar bandar bagi meminta sedekah.

"Apa yang saya tahu mereka ini didalangi sindiket untuk masuk ke sini dan menyewa rumah berdekatan dalam jumlah ramai," katanya.

Selain Kota Bharu, pengemis rakyat asing ini juga terdapat di bandar Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.

Seorang pekerja swasta, Abdul Aziz Ibrahim, 45, berkata majoriti pengemis ini adalah orang Islam walaupun ada yang menyamar sebagai Muslim.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Said Sidup berkata jabatannya memang sedia maklum setiap kali Ramadan kumpulan pengemis warga asing ini akan datang meraih simpati rakyat di sini.

"Dengan kerjasama beberapa jabatan lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan polis kita akan menjalankan operasi dalam masa terdekat bagi menangani aktiviti pengemis ini," katanya.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: pengemis , sindiket , Ramadan , selatan Thai
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan