Siasat menyeluruh kematian gajah pygmy Borneo - Shafie - Berita Semasa | mStar

Siasat menyeluruh kematian gajah pygmy Borneo - Shafie

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2018 6:53 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) melakukan siasatan rapi tentang kematian enam gajah pygmy Borneo yang berlaku dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata jabatan itu juga perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlaku lebih banyak kejadian serupa yang mengancam nyawa hidupan liar serta membuat kajian tentang konflik manusia-gajah dan isu lain, termasuk aktiviti pemburu haram.

“Saya mengambil maklum daripada laporan berita bahawa punca kematian gajah ini sejak awal April dan 20 Mei, masih belum dikenal pasti.

“Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) komited untuk menjaga dan memulihara hidupan liar serta sumber asli Sabah dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana kumpulan.

“Saya tidak mahu mendengar cakap semata-mata. Saya ingin melihat rancangan pemuliharaan secara jangka pendek dan jangka panjang disusun untuk dilaksanakan dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Shafie berkata beliau ingin melihat SWD dan Jabatan Perhutanan Sabah bekerjasama rapat untuk melindungi hidupan liar dan hutan, di samping berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan dengan segera koridor hutan, tanpa berasa bimbang tentang kepentingan perniagaan individu tertentu.

“Saya percaya rangkaian untuk melaksanakannya sudah ada, cuma sebelum ini tidak ada kesunggguhan untuk menjayakannya,” kata beliau.

Beliau juga meminta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Christina Liew segera diberi taklimat tentang keadaan semasa dan mencari jalan bagaimana semua langkah perlu dapat segera diambil bagi melindungi hidupan liar di negeri ini. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: gajah pygmy Borneo , Shafie Apdal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan