Justo, Duta Besar AS kunjungi Dr Mahathir - Berita Semasa | mStar

Justo, Duta Besar AS kunjungi Dr Mahathir

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2018 5:05 PM

Xavier Andre Justo. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo, sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, Isnin.

Justo, yang berpakaian sut, mengadakan pertemuan kira-kira 75 minit dengan Dr Mahathir.

Kereta Mercedes-Benz berwarna perak yang dinaiki Justo kelihatan beredar keluar dari bangunan YKP pada 2 petang.

Pada Ahad, Justo, 49, mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir lebih sejam di kediaman peribadi beliau di Serdang dekat sini.

Menerusi akaun Facebook rasminya, Justo memuat naik gambarnya bersama-sama Dr Mahathir dengan kapsyen: "What a great privilege and what an incredible moment" (Sesungguhnya ini suatu peluang yang amat istimewa dan momen yang amat luar biasa).

Justo dipenjarakan tiga tahun di Bangkok selepas ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui, selatan Thailand pada 22 Jun 2015 susulan pegawai PetroSaudi membuat aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat itu.

Pada Disember 2016, Justo yang merupakan antara 150,000 banduan Thailand dan warga asing, diberikan pengampunan oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Selain Justo, Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, Isnin.

Kamala tiba di YKP pada 2.30 petang dengan kenderaan rasmi kedutaan itu.

Sebelum itu, Duta Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana turut mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di YKP.

Sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei lepas, Dr Mahathir, 92, menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negara luar seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, mengetuai gabungan empat parti untuk mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Justo , 1MDB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan