Sultan Selangor perkenan Azmin jadi menteri Persekutuan - Berita Semasa | mStar

Sultan Selangor perkenan Azmin jadi menteri Persekutuan

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2018 9:37 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal memegang jawatan Menteri Besar Selangor buat sementara waktu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Mohamed Azmin untuk memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pagi Isnin memaklumkan bahawa Mohamed Azmin akan terus memegang jawatan menteri besar sehingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar yang baharu dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

"Mohamed Azmin telah bersetuju untuk menerima jawatan menteri di peringkat kerajaan Persekutuan di bawah portfolio Menteri Hal Ehwal Ekomoni.

"Keputusan tersebut dibuat setelah beliau mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) tentang skop kerja dan bidang kuasa kementerian baharu.

"Mengambil kira perkembangan tersebut, Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah perkenan untuk Mohamed Azmin memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi," jelasnya.

Dalam masa yang sama Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon menteri besar Selangor yang baharu untuk penelitian dan perkenan Sultan Selangor.

"Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan melantik menteri besar yang baharu.

"Proses yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan tersebut.

Pada Ahad, Mohamed Azmin tiba di Istana Bukit Kayangan bagi  menghadap Sultan Sharafuddin.

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , Menteri Besar Selangor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan