Isteri terkilan Kapten Hassan tak sempat jamah anggur, kurma - Berita Semasa | mStar

Isteri terkilan Kapten Hassan tak sempat jamah anggur, kurma

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mei 2018 11:41 AM

Tinggal kenangan... Kapten Hassan bersama isterinya. - Foto ihsan Selina Chong Abdullah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Juruterbang komersial pertama Melayu, Kapten Hassan Ahmad telah meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman.

Allahyarham yang berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 9.15 malam Jumaat.

Isterinya, Selina Chong Abdullah, 56, berkata arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL pada Khamis kerana mengalami cirit birit.

"Arwah mengalami diarrhoea (cirit birit) yang teruk. Pada mulanya dia dibawa ke Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum dibawa menaiki ambulans ke HKL dan dimasukkan ke wad ICU dan ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya tak sangka dia akan pergi dalam keadaan sebegini (sakit diarrhoea). Kita tahu penyakit ini boleh pulih tapi sebaliknya berlaku... mungkin disebabkan keadaannya yang lemah dan ada komplikasi penyakit lain," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Selina lagi, dia agak terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati buah anggur hijau dan kurma yang dibelinya dari Australia.

"Arwah suka makan anggur hijau. Dekat sini susah nak dapatkan yang segar, jadi kebetulan saya berada di Australia saya belikan arwah dua paket.

"Tapi arwah tak sempat nak makan, dia dah pergi dulu," katanya dalam nada sebak.

Ditanya mengenai keperibadian arwah, Selina menyifatkan suaminya itu sebagai seorang yang kuat bekerja, penyayang, berbudi bahasa dan lemah lembut.

Selina berkata dia tidak berada di sisi suaminya buat kali terakhir malam tadi kerana dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas bertemu dengan cucunya di Australia.

Selina (kiri) ditenangkan oleh saudara mara yang hadir majlis pengebumian jenazah suaminya. - Foto SAMUEL ONG/The Star

Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya, Ahmad Hussein, 32, dan menantunya, Dayang Erna Mulluk.

Selain Ahmad Hussein, arwah turut meninggalkan empat lagi anak iaitu Dr Juliana Murni, 33, Hazmi, 52, Ida Hanum Hassan dan Salina Salwa.

Arwah turut dikurniakan 12 orang cucu dan seorang cicit.

Jenazah dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor.

Kapten Hassan merupakan juruterbang syarikat penerbangan negara (MAS) pertama di negara ini.

Beliau hanya membuat penerbangan selama tiga setengah tahun sebelum ditugaskan sebagai juruterbang pesawat kebangsaan pada 1965.

Beliau adalah salah seorang daripada dua orang Melayu yang diambil sebagai juruterbang untuk Malayan Airways selain Kapten Khairi Mohamed.

Kapten Hassan memulakan latihan juruterbang pada 1959 dengan menghadiri Korps Latihan Udara Persekutuan Malaya.

Ketika itu, beliau berusia 23 tahun.

Selepas tamat sebagai kadet juruterbang, beliau menyertai sebuah kelab penerbangan sebelum memperoleh biasiswa selama dua tahun untuk menjalani latihan di sebuah sekolah penerbangan di Indonesia.

Beliau turut membuat penerbangan komersil pertama untuk MAS ke Singapura pada 1 Oktober 1972.

Hassan bersara pada usia 55 tahun dan mengumpul sebanyak 12,000 jam penerbangan.

Tags / Kata Kunci: Kapten Hassan Ahmad , MAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan