Himpunan Merdeka Rakyat pentas ucapan sulung Anwar - Berita Semasa | mStar

Himpunan Merdeka Rakyat pentas ucapan sulung Anwar

Diterbitkan: Rabu, 16 Mei 2018 9:42 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan rakyat umumnya mula membanjiri Padang Timur di sini malam Rabu sempena Perhimpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program anjuran Angkatan Muda Keadilan itu bakal dihadiri pimpinan PKR dan PH. Dilaporkan, himpunan ini akan dihadiri lebih 10,000 rakyat dan penyokong PH dari seluruh negara.

Segelintir penyokong memakai baju yang memaparkan wajah Ketua Umum PKR itu, dan antaranya tertera perkataan "I'm Back" (Saya Kembali).

Solat Maghrib dan Isyak diadakan di sini, disusuli solat hajat.


Solat Terawih turut diadakan pada Rabu malam, berikutan umat Islam di seluruh negara akan menjalani ibadah puasa pada Ramadan bermula Khamis.

Anwar hadir di Padang Timur pada pukul 10 malam sebelum memberi ucapan 'kebebasan rakyat'.

Selain Anwar, pemimpin Pakatan Harapan yang turut hadir adalah presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar, 71, dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan Lembaga Pengampunan Diraja bertitah memperkenan rayuan pengampunan penuh terhadap Anwar.

Ketua Umum PKR itu dibebaskan serta-merta pada Rabu tanpa sebarang syarat, malah rekod lampaunya juga terpadam.

Tags / Kata Kunci: Himpunan Merdeka , Anwar Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan