Bos lama masuk SPRM semula? - Berita Semasa | mStar

Bos lama masuk SPRM semula?

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2018 8:24 AM

Abu Kassim Mohamed.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan bakal membarisi semula pimpinan suruhanjaya itu susulan perletakan jawatan ketua pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Senarai itu didahului oleh bekas ketua pesuruhjaya sebelum Dzulkifli iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan ketua pesuruhjaya (operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Calon lain ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) ketika ini, Datuk Seri Azam Baki.

Menurut sumber, Abu Kassim kemungkinan besar akan kembali dan mengambil alih tanggungjawab terhadap SPRM dan "menyelesaikan apa yang telah ditinggalkannya".

Dzulkifli menggantikannya pada Ogos 2016 selepas satu rombakan yang menyaksikan ketiga-tiga pegawai tertinggi di dalam SPRM digantikan.

Abu Kassim dilantik sebagai ketua suruhanjaya SPRM pada 1 Januari 2010.

Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada 4 Disember tahun ini tetapi tarikh itu dibawa ke 1 Ogos 2016 atas permintaannya.

Walaupun ramai yang beranggapan beliau telah bersara, sumber memberitahu Abu Kassim "dipindah" ke sebuah jabatan kecil di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, timbul spekulasi bahawa Abu Kassim akan dilantik sebagai peguam negara, bagaimanapun sumber memberitahu ia tidak mungkin berlaku disebabkan kekurangan kepakarannya dalam undang-undang.

Abu Kassim mempunyai pendidikan Sarjana dalam bidang Keadilan Jenayah dari Michigan State University dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia.

Difahamkan Abu Kassim sedang melaksanakan umrah di Mekah.

Cubaan untuk menghubungi beliau bagi mendapatkan respons tidak berhasil. Beliau akan menaiki penerbangan kembali ke tanah air pada Selasa malam.

Satu semakan di laman web menunjukkan Abu Kassim ketika ini merupakan perunding Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau telah berkhidmat dengan SPRM sejak 1984 sehingga beliau meletak jawatan pada 2016.

Mohd Shukri bersara pada Ogos 2016 pada usia 56 tahun.

Beliau dilihat di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Isnin, memasuki pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan perpisahannya dua tahun lalu, Mohd Shukri berkata, beliau telah dihina dan dituduh terbabit dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau juga menyelar 'individu' yang membuat laporan polis terhadap Abu Kassim, bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan ketika itu.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun merupakan individu yang membuat laporan berkenaan.

Azam ketika dihubungi enggan memberi komen mengenai perkembangan terkini, mengatakan bahawa keputusan untuk menggantikan Dzulkifli adalah prerogatif Perdana Menteri.

Dzulkifli mengemukakan surat untuk menamatkan kontraknya dengan SPRM kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, berkuat kuasa pada Isnin.

Kontrak Dzulkifli sepatutnya berakhir pada 31 Julai 2021.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Abu Kassim Mohamed , Dzulkifli Ahmad
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan