Tiada laporan berkaitan bekas KPN - Berita Semasa | mStar

Tiada laporan berkaitan bekas KPN

Diterbitkan: Isnin, 14 Mei 2018 2:35 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar

(Ubah saiz teks)

JEMPOL: Polis Diraja Malaysia belum menerima sebarang arahan atau laporan mengenai bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang membolehkan pihaknya melakukan siasatan.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun jika ada sebarang laporan mengenai Khalid, pihaknya akan membuka kertas siasatan.

"Setakat ini kita tiada perkara hendak siasat, tetapi jika ada asas atau laporan daripada pihak tertentu, kita akan jalankan siasatan jika perlu.

"Tetapi setakat ini tiada arahan tertentu daripada mana-mana pihak diberikan kepada kita," katanya dalam satu sidang media selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini, Isnin.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan merasmikan bangunan IPD berkenaan.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan isteri Wan Hasni Wan Yusof serta Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata kawalan ketat polis di laluan masuk ke kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta di ibu negara sejak semalam adalah sebagai langkah keselamatan di kawasan itu.

"Itu sebenarnya ada dua indikasi, satu khuatir tentang keselamatan bekas perdana menteri (Najib) dan kita juga membuat pemantauan kepada pihak-pihak yang tertentu.
Dalam masa sama kita mahu memastikan tahap keselamatan di kediaman itu agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: bekas KPN , Khalid Abu Bakar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan