Rafidah akui Tony jadi mangsa - Berita Semasa | mStar

Rafidah akui Tony jadi mangsa

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2018 10:14 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tidak lama selepas permohonan maaf daripada Tan Sri Tony Fernandes berhubung tindakannya menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU14, Tan Sri Rafidah Aziz mengakui AirAsia memang mendapat tekanan daripada kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu posting di Facebooknya, Rafidah menjelaskan Tony dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamaruddin Meranun sebelum ini ada mengajaknya untuk sarapan pagi bagi menyampaikan mesej daripada pegawai bekas perdana menteri yang mahu beliau berhenti menyerang kerajaan BN.

Menurut Rafidah, beliau tidak mengendahkan mesej tersebut dan akan terus bersuara.

Malah, beliau mendakwa memberitahu Tony dan Kamaruddin bahawa dirinya akan meletak jawatan.

"Saya beritahu Tony dan Din (Kamaruddin) bahawa jika mereka rasa terlalu tertekan, saya akan letak jawatan. Saya beritahu mereka bukan saya yang minta jawatan itu.

"Tony enggan mendengar perkara itu. Kedua-dua mereka menolak cadangan untuk saya meletak jawatan. Kami sayang Tan Sri Rafidah, kata Tony. Saya tersentuh," kata Rafidah.

Jelas Rafidah, ugutan itu membuatkan dirinya lebih bersemangat dan lebih lantang bersuara terhadap kerajaan BN.

Akibatnya, Rafidah berkata Tony terpaksa menenangkan Najib dan pegawainya ketika itu.

"Tony tidak memberitahu saya bahawa dia cuba untuk "menenangkan" perdana menteri dan pegawai-pegawainya ketika itu. Dia tahu jika saya tahu, saya akan membantah tindakannya.

"Tony menjadi mangsa. Cukup saya katakan Tony menerima teguran keras daripada saya kerana dia tidak beritahu saya tentang kapal terbang itu," katanya.

Rafidah kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Tony dan AirAsia kerana didakwa sanggup menanggung akibat bagi pihak dirinya.

"Sebab dia tahu saya lakukan hal yang betul, dan dalam masa sama, dia perlu hentikan 'mereka' daripada terus mengancam untuk menjejaskan AirAsia dan AAX yang mana saya adalah pengerusinya," katanya.

Kini dengan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan, Rafidah yakin AirAsia berupaya beroperasi dalam suasana yang lebih mesra.

"Dan kekangan yang dihadapi oleh industri penerbangan boleh dikurangkan dan dihapuskan. Kami boleh berkhidmat kepada anda dengan lebih baik.

"Sama-sama kita melihat ke depan dengan positif, dan mari kita tinggalkan yang keruh dari kerajaan sebelum ini di belakang. AirAsia akan, Insya-Allah, terbang di langit yang lebih cerah selepas ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Rafidah Aziz , Tony Fernandes
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan