Mansuhkan GST, kembalikan subsidi minyak tak jejaskan ekonomi - Berita Semasa | mStar

Mansuhkan GST, kembalikan subsidi minyak tak jejaskan ekonomi

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2018 8:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memastikan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula subsidi minyak tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Majlis Penasihat Kerajaan yang baru ditubuhkan oleh kerajaan itu yakin untuk memansuhkan GST dan mengembalikan semula subsidi minyak berikutan mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman yang berkaitan.

"Kami perlu melakukan analisis mengenai GST dan subsidi minyak. Selepas GST dimansuhkan, yang paling penting kita dapat menghapuskan rasuah dan pembaziran serta menjadi lebih cekap. Kami telah melakukannya sebelum ini, (selama) 57 tahun tidak ada GST .. tiada masalah.

“Kami dapat mengendalikannya. Tiada sebab mengapa ekonomi dipertaruhkan dan menjadi lebih teruk, jangan bimbang.

"Pada dasarnya, pengurus dana yang lebih bimbang tentang GST. Mereka takut hutang akan meningkat. Kami tidak akan menaikkan hutang lagi. Kami tidak bodoh.

"Ini adalah spekulasi yang tidak wajar. Ini merupakan tindak balas normal apabila kerajaan baharu mengambil alih. Bagaimana wujud ketidakpastian apabila ada manifesto dan semuanya pun ada," kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di sini pada Sabtu.

Selain Daim, ahli lain daripada majlis itu adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, Ahli Ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok.

Kuok tidak hadir kerana berada di luar negara.

Menurut Daim, pada masa ini majlis itu tidak akan mendedahkan bagaimana kerajaan akan mengimbangi pengurangan daripada pemansuhan GST dan pengenalan semula subsidi minyak.

Beliau berkata majlis tersebut akan mengambil langkah penting untuk memulihkan keyakinan pelabur.

"Pertama adalah GST, kemudian, kami akan memanggil pegawai-pegawai di kementerian untuk memberi taklimat kepada kami mengenai projek-projek mega, hutang negara, tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan - Tabung Haji, Mara, Felda, selain menangani ringgit," katanya.

Mengenai siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Daim mendedahkan pasukan petugas khas akan ditubuhkan dengan segera bagi tujuan itu di bawah bidang kuasa Majlis Penasihat Kerajaan.

Majlis itu telah mengenal pasti mereka yang dapat membantu dalam siasatan tersebut dan mendapatkan semula berbilion dolar yang didakwa dicuri daripada dana itu, katanya, sambil menambah majlis itu kemudiannya akan mengemukakan laporan tersebut kepada kerajaan.

Menyelesaikan kemelut 1MDB merupakan antara janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Perdana Menteri semalam mengumumkan penubuhan majlis itu, antara lainnya, akan membantu kerajaan baharu melaksanakan janji-janji yang PH berjanji untuk memenuhinya dalam tempoh 100 hari dalam pentadbiran. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: GST , Daim Zainuddin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan