Pulangkan balik harta benda balai raya! - Berita Semasa | mStar

Pulangkan balik harta benda balai raya!

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2018 11:33 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menggesa pihak yang terlibat dalam pengambilan harta benda di balai raya di negeri ini agar segera memulangkannya supaya ia dapat digunakan rakyat untuk pelbagai aktiviti di premis berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mendapat laporan terdapat kemudahan serta peralatan seperti kipas dan kerusi di beberapa balai raya di negeri ini telah diambil pihak pengurusan di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini dan tindakan itu merugikan rakyat secara keseluruhan.

"Balai raya adalah hak milik kerajaan dan ia (dibeli) dengan menggunakan wang daripada rakyat … ia bukan hak mana-mana parti politik, ia hak rakyat. Kita akan runding dengan pihak terbabit supaya ia (kemudahan itu) dipulangkan segera.

"Sepatutnya ia diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan yang memerintah dalam keadaan yang baik agar program dirancang di balai raya berkenaan dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru di Ayer Keroh, Sabtu malam.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah jika balai raya berkenaan ingin digunakan masyarakat yang menyokong parti politik selain Pakatan Harapan kerana semua orang mempunyai hak untuk menggunakannya bagi kepentingan bersama.

Sementara itu, Adly berkata beliau bertekad untuk menjimatkan kira-kira 50 peratus daripada bil elektrik di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka iaitu Seri Bendahara di Ayer Keroh di sini sebaik beliau dan keluarganya mula tinggal di kediaman itu.

Beliau berkata ia kerana berdasarkan laporan akhir yang diterima ketika menjadi pembangkang sebelum ini, bil elektrik kediaman berkenaan mencecah RM46,000 sebulan dan sebahagian besarnya disumbangkan oleh penggunaan pendingin hawa yang menggunakan sistem berpusat.

"Pada saya ia merupakan satu pembaziran kerana kebiasannya kita hanya menggunakan sebahagian kecil ruang daripada kediaman itu yang mempunyai keluasan agak besar.

"Justeru, saya akan mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya untuk melihat kembali sistem tersebut agar pembaziran dapat diminimumkan dan wang rakyat dapat dijimatkan," katanya.

Beliau berkata penukaran perabot di kediaman itu juga tidak akan dilakukan walaupun terdapat cadangan daripada pegawai kerajaan yang bertugas kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Balai raya , Adly Zahari
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan