Empat calon baharu bagi Exco Selangor - Azmin - Berita Semasa | mStar

Empat calon baharu bagi Exco Selangor - Azmin

Diterbitkan: Sabtu, 12 Mei 2018 9:48 AM

Azmin bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar SElangor, Jumaat. -foto THESTAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat calon muka baharu dipertimbangkan bagi mengisi kerusi Exco Kerajaan Negeri Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata mereka akan menggantikan tiga Exco iaitu dua wakil PAS serta seorang wakil PKR yang juga Ketua Pemuda parti itu Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini merupakan Anggota Parlimen Setiawangsa.

Beliau berkata parti-parti komponen Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM akan berbincang mengenai calon-calon Exco itu.

"Jumlah kerusi Exco yang ada akan diagihkan secara saksama mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh setiap parti (pada Pilihan Raya Umum Ke-14)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, Jumaat.

Mohamed Azmin berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ahad untuk menyembah senarai calon Exco yang dicadangkan bagi mendapat perkenan baginda.

Majlis angkat sumpah exco dijangka berlangsung pada Isnin ini di Istana Alam Shah, katanya.

Pada pilihan raya umum itu Rabu lepas, Mohamed Azmin mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi.

Selain itu, PH mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN Selangor.
-Bernama

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , exco Selangor , PRU14
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan