Majlis angkat sumpah MB Kedah baharu 3 petang ini - Berita Semasa | mStar

Majlis angkat sumpah MB Kedah baharu 3 petang ini

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2018 11:01 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah yang sepatutnya dijadualkan semalam, akan berlangsung pada 3 petang ini di Istana Anak Bukit dekat sini.

Menurut jemputan rasmi yang dikeluarkan pihak kerajaan negeri, istiadat itu akan diadakan di Balairung Seri Kecil setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklumat mengenai parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri.

Pembentukan kerajaan negeri Kedah tergantung selepas tiada mana-mana parti atau pakatan pun yang mendapat majoriti mudah yang diperlukan iaitu 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 Rabu lepas, Pakatan Harapan yang diketuai bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN.

Barisan Nasional pula hanya memenangi tiga kerusi manakala PAS memperoleh 15 kerusi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: MB Kedah , Pakatan Harapan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan