Anwar bebas awal, Agong berkenan ampun serta merta - Berita Semasa | mStar

Anwar bebas awal, Agong berkenan ampun serta merta

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2018 12:04 PM

(Ubah saiz teks)

TERKINI

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Yang di-Pertuan Agong telah berkenan memberi pengampunan serta merta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disampaikan kepada Dr Mahathir ketika pertemuan dengan baginda pada istiadat angkat sumpah selaku perdana menteri yang berlangsung di Istana Negara pada Khamis.

"Agong menyampaikan titah berkenaan untuk memberi pengampunan serta merta kepada Anwar. Jadi kami akan melaksanakan proses sewajarnya untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar.

"Ia akan menjadi pengampunan penuh yang bermakna Anwar akan dibebaskan serta merta," katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary selepas mesyuarat Majlis Presiden sebentar tadi.

Jelas Dr Mahathir, sebaik sahaja dibebaskan Anwar akan kembali sepenuhnya dalam politik.

Ditanya sama ada Anwar akan menyertai barisan Kabinet sejurus dibebaskan, Dr Mahathir berkata proses itu mengambil masa yang agak lama.

"Sebelum menyertai Kabinet beliau perlu jadi Ahli Parlimen dahulu, jadi proses memakan masa yang lama.

"Sama ada beliau akan menyertai Kabinet dengan serta merta atau tidak, akan diputuskan apabila tiba masanya nanti," kata Dr Mahathir.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh, Selangor selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar menafikan kesalahan itu dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik.

Beliau sepatutnya bebas 8 Jun ini.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan