Tun M ziarah pusara Fadzil Noor - Berita Semasa | mStar

Tun M ziarah pusara Fadzil Noor

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2018 10:49 PM

(Ubah saiz teks)

POKOK SENA: Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohammad menziarahi pusara bekas  Presiden PAS,  Allahyarham Datuk Fadzil Noor, petang Sabtu bukan untuk raih undi sebaliknya atas hubungan silaturahim yang telah lama terjalin.

Anak kelima Allahyarham, Muhammad Faiz  Fadzil  berkata,  keluarganya tidak hairan dengan kunjungan  bekas perdana menteri  tersebut di  Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, dekat sini.

Menurut Faiz yang juga calon Harapan Dun Permatang Pasir, Pulau Pinang, doa Allahyarham pernah dilafazkan suatu ketika dahulu yang mahu Mahathir dipanjangkan umur termakbul.

“Kami sekeluarga mengimpikan perubahan kepada Tun. Kami tidak rasa pelik kerana Tun pernah lawat arwah semasa koma di HUKM pada 2002. Saya percaya kunjungan ke pusara adalah satu penghormatan buat arwah.

“Apa yang berlaku hari ini adalah satu manifestasi doa arwah agar Tun dipanjangkan umur untuk melihat sendiri apa beliau lakukan. Tun tidak akan lihat dengan hati yang telus dan jujur jika beliau tidak bersama Pakatan Harapan harii ini.

“Tun banyak kali cakap beliau salah dan minta maaf. Itu satu petanda yang baik bahawa apa yang berlaku hari ini adalah satu kesilapan dalam pentadbiran. Beliau sebagai orang lama tahu ini adalah satu realiti,” katanya.

Faiz berkata, permusuhan kedua-dua tokoh ini suatu ketika dahulu tidak melibatkan peribadi sebaliknya atas perbezaan politik sahaja untuk bersaing menjadi pemerintah.

Jelasnya, negarawan itu juga mahu menunjukkan bahawa politik bukan pentas untuk bermusuh tetapi satu pentas demokrasi yang baik untuk rakyat membuat pilihan tepat siapakah yang terbaik mampu menerajui negara.

“Saya rasa Tun akan datang bila-bila masa untuk ziarah pusara arwah (bukan disebabkan untuk raih undi pada musim pilihan raya).

“Yang menghangatkan suasana sebenarnya adalah media. Saya ingat jika media tidak datang siapa pun tak tahu.

“Terima kasih kepada media  kerana membuat liputan supaya rakyat tahu bahawa ini adalah demokrasi tulen,” ujarnya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Tun M , Fadzil Noor , PRU14
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan