18 tingkap kereta api pecah - Berita Semasa | mStar

18 tingkap kereta api pecah

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2018 10:18 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Sebanyak 18 tingkap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memaparkan simbol Barisan Nasional (BN) serta wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pecah akibat dibaling batu oleh individu tidak dikenali.

Pengerusi KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada kejadian tersebut ada kaitan dengan simbol dacing dan juga wajah perdana menteri.

“Saya tak pasti itu (logo dacing dan wajah Najib) antara punca, hidup kita bukan semua orang suka, bukan semua orang tak suka tapi kes ini saya nak minta masyarakat lebih berfikiran terbuka, jangan gunakan emosi untuk hancurkan barang-barang kerajaan kerana tingkap tu mahal.

“Kalau (KTMB) dapat tangkap orang tu saya minta diberi hukuman secukupnya, hukuman berat kerana rosakkan harta benda kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis malam santai industri pelancongan Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Jumaat malam.

KTMB menerusi kenyataannya semalam memohon orang ramai terutamanya dalam musim pilihan raya supaya tidak melakukan vandalisme kerana ia akan membahayakan keselamatan penumpang-penumpang, kru, dan pemandu perkhidmatan syarikat pengangkutan awam itu.

KTMB juga menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), Seksyen 130, di mana jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM50,000 dan 20 tahun penjara.

Sementara itu Nawawi yang juga calon BN Parlimen Langkawi menggesa orang ramai yang menetap berhampiran landasan keretapi untuk lebih bertanggungjawab.

"Mereka lebih bertanggungjawab, jangan membaling batu kerana membahayakan penumpang, merosakkan harta kerajaan dan tindakan boleh diambil.

“Saya akan maklumkan kepada pengurusan untuk kenal pasti lokasi-lokasi yang ada masalah ini dan kita akan hantar keselamatan kita untuk buat tindakan dan semakan,” katanya.-SinarHarian
Tags / Kata Kunci: KTMB , Langkawi , Nawawi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan