Azrinaz akhiri zaman janda - Berita Semasa | mStar

Azrinaz akhiri zaman janda

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2018 8:32 PM

Azrinaz selamat bernikah pada 1 Mei lalu. Foto Intagram azrinazmazharhakim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai siapa pasangan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim yang selama ini digosipkan dengan beberapa individu terjawab selepas diijabkabulkan pada 1 Mei lalu.

Bekas isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah itu selamat bernikah dengan Fairos Khan Abdul Hamid, sahabat yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu sebelum menjalinkan hubungan rapat setahun lalu.

"Setelah mengenali hati budi, pasangan bujang bernama Fairos Khan Abdul Hamid menjadi ‘mangsa’. Beliau yang memahami rentak kehidupan dan kehendak saya berlatarbelakangkan TV penyiaran sebagai pekerjaan.

"Bukan material yang dicari, cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini di kala susah senang, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua,” katanya di laman sosial Instagramnya pada Jumaat malam.

Majlis pernikahan diadakan secara tertutup di kediaman pengantin perempuan di Kuala Lumpur dan dihadiri keluarga terdekat.

Pasangan itu dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim berwalikan bapa Azrinaz. 

Dengan pernikahan itu, Azrinaz berharap semua pihak memberi ruang untuk memahami nalurinya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan.

"Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua. Tidak pernah sesaat sekalipun saya melupakan atau akan melupakan kedua-dua anakanda saya. Malah jika diberi peluang dan kesempatan, tanggungjawab dan kasih sayang sebagai ibu sentiasa sedia dicurahkan," katanya.


Dalam pada itu, Azrinaz memohon maaf kepada semua pihak termasuk media kerana tidak memaklumkan mengenai pernikahannya lebih awal.

"Kami bukanlah sempurna, dengan ketidaksempurnaan inilah yang melengkapi kami berdua. Dari lubuk hati, maaf dipohon, 10 jari disusun kerana berita ini tidak dikongsi dengan rakan-rakan media terlebih dahulu mahupun sahabat handai.

"Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’, begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti," katanya.

Azrinaz dan Sultan Brunei berkahwin pada 2005 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 12, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 10.

Tags / Kata Kunci: Azrinaz Mazhar Hakim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan