Kesian Zaid Ibrahim - Arul Kanda - Berita Semasa | mStar

Kesian Zaid Ibrahim - Arul Kanda

Diterbitkan: Selasa, 1 Mei 2018 10:21 AM

Arul Kanda Kandasamy.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengarahkan peguamnya di Australia mengambil kes terhadap ANZ Bank kononnya bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwa diseleweng daripada dana syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilihat cuba mencari publisiti murahan.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, tindakan Zaid itu juga mungkin akibat kecewa kerana DAP tidak meletakkannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

"Saya sebenarnya bersimpati dengan Zaid sebab saya tahu beliau kecewa kerana beliau ahli politik yang tidak berjaya dan dijanjikan untuk dapat kerusi (bertanding pada PRU14).

"Tapi malangnya, DAP mengutamakan calon Cina, jadi pada pendapat saya dia hanya hendak buat publisiti. Saman beliau dah banyak kali dikemukakan termasuk berkaitan 1MDB dan beberapa kali juga ditolak," katanya.

Arul Kanda berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Pendengaran Awam Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Bharu anjuran Kelab Sahabat N87 Malaysia di Padang Taman Guru, Pintu Geng di sini, Isnin.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.  

Zaid dilaporkan mendedahkan peguamnya di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwanya diseleweng daripada dana 1MDB meskipun pihak berkuasa Malaysia menegaskan sebaliknya.

Menerusi blog pada 23 April lalu, Zaid mendedahkan beliau ke Sydney untuk mengarahkan Peguamcara Levitt Robinson meninjau kemungkinan mendakwa ANZ Bank. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Arul Kanda , Zaid Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan