Tak boleh tidur selagi tak jumpa ‘baby’ Aminah dan akhirnya... - Berita Semasa | mStar

Tak boleh tidur selagi tak jumpa ‘baby’ Aminah dan akhirnya...

Diterbitkan: Isnin, 30 April 2018 9:29 PM

Anies Aida gembira dapat menjadi ibu susuan kepada bayi perempuan berusia tiga bulan yang mengalami penyakit kulit sejak dilahirkan. - Facebook

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hati ibu mana tidak luluh apabila tidak dapat menyusukan permata hati yang baru dilahirkan, apatah lagi bayi tersebut adalah bayi sulungnya.

Kasih sayang yang menggunung memaksa seorang ibu, Intan Liana Abdul Aziz, 25, mencari ibu susuan buat bayinya Aminah Zulaikha yang menghidap penyakit kulit.

Intan Liana yang memuat naik posting pencarian ibu susuan ke sebuah laman Facebook komuniti pada Ahad telah membuatkan seorang ibu kepada lima putera berasa terpanggil untuk membantunya.

Anies Aida.

Anies Aida Muda, 31, yang menetap di Skudai, Johor berkata, dia tidak boleh tidur malam sebaik membaca mengenai kisah bayi berusia tiga bulan itu.

"Saya hanya ada maklumat yang ibu 'baby' Aminah mahu cari ibu susuan. Tidak tahu kenapa dia perlukan susu.

"Jadi, selepas menghantar anak ke sekolah hari ini, saya terus berkunjung ke rumah Intan yang terletak di Tampoi," katanya kepada mStar Online, Isnin.

Kata jurusolek sepenuh masa itu, naluri keibuannya tersentuh sebaik berpeluang mendakap Aminah Zulaikha kerana anak bongsunya yang berusia lima bulan juga mengalami masalah kesihatan.

Menurut Anies Aida, air matanya hampir mengalir ketika melihat keadaan bayi tersebut, namun terpaksa menahan perasaannya.

"Saya pun ada anak yang sakit, jadi saya amat memahami perasaan ibu kepada baby Aminah. Mungkin ibunya 'stress' dan tidak dapat menyusukan bayi ini.

"Memandangkan rumah kami dekat sahaja, saya sudah berjanji akan menghantar susu ke rumah mereka setiap hari," ujar wanita ini yang juga pernah menjadi ibu susuan kepada bayi kembar, enam tahun lalu.

Anies Aida mendukung Aminah Zulaikha ketika melawat bayi itu di kediamannya di Tampoi pada petang Isnin.

Anak bongsu Anies Aida disahkan menghidap 'clubfoot' yang memerlukan dia dan suami berulang alik ke Bangkok, Thailand bagi mendapatkan rawatan.

Tambah Anies Aida, dia tidak mampu membantu daripada segi kewangan dan cuba sedaya upaya untuk membekalkan susu kepada bayi perempuan itu.

Dalam pada itu, dia juga berharap ada pihak yang sudi membelikan pendingin hawa untuk keluarga tersebut memandangkan bayi berkenaan tidak boleh berada dalam keadaan panas.

Posting jurusolek itu mengenai pertemuannya dengan bayi tersebut pada petang Isnin tular dan menerima lebih 5,500 tanda suka (likes) serta mendapat 3,090 perkongsian.

Tags / Kata Kunci: ibu susuan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan