Wan Azizah tinggalkan majlis ketika Azmin berucap - Berita Semasa | mStar

Wan Azizah tinggalkan majlis ketika Azmin berucap

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2018 8:00 AM

Wan Azizah meninggalkan majlis ketika Azmin berucap pada majlis pelancaran pusat operasi PKR Seberang Jaya, petang Ahad.

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara tiba-tiba meninggalkan majlis pelancaran pusat operasi PKR Seberang Jaya di sini petang Ahad menimbulkan tanda tanya.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang hadir sejak awal majlis itu diadakan pada pukul 2.20 petang dilihat bangun ketika pengacara menjemput Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau kemudian meluru ke arah kenderaannya sebelum disusuli Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Kumpulan wartawan yang menyedari situasi itu segara mendapatkan Wan Azizah bagi mendapatkan komen pemimpin utama PKR itu.

Ketika ditanya, Wan Azizah berkata, beliau terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan parti dan perlu menandatangan watikah calon.

“Saya nak balik nak sign watikah kerana semua calon yang akan bertanding di bawah saya punya tandatangan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan Presiden PKR itu menolak lapan nama yang diketengahkan Azmin sebagai calon di Selangor.

Keadaan itu dikatakan punca menyebabkan hubungan kedua-dua pemimpin itu tegang.

Difahamkan, antara nama calon yang digugurkan ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua selain pegawai Azmin sendiri, Hilman Idham. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Wan Azizah , Azmin Ali , PRU14
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan