Tiada halangan ziarah di Jabal Rahmah - Berita Semasa | mStar

Tiada halangan ziarah di Jabal Rahmah

Diterbitkan: Sabtu, 21 April 2018 7:42 PM

Tiada halangan jemaah umrah untuk menziarahi lokasi bersejarah di sekitar kota suci Makkah. (Gambar kecil) Beberapa gambar tular di media sosial dan WhatsApp menunjukkan larangan dan pengharaman berkunjung ke beberapa tempat di kota Makkah.

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Tiada halangan jemaah umrah untuk menziarahi lokasi bersejarah di sekitar kota suci Makkah seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Ini terbukti apabila jemaah dari Malaysia mengunjungi Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina dan Jaaranah bermula pukul 8.30 pagi waktu tempatan Sabtu.

Sejurus tiba, jemaah bebas berfoto, berbelanja dan mendaki Bukit Rahmah tanpa sebarang halangan.

Pada 19 April lalu, ramai dikejutkan dengan mesej mengenai larangan dan pengharaman berkunjung ke beberapa tempat di kota Makkah.

Antara gambar yang tular berhubung pengharaman berkunjung ke beberapa tempat di kota Makkah.

Antara tempat itu termasuk Jabal Tsur, Jabal Noor dan Jabal Rahmah. Mesej daripada whatsaap itu turut dimuatkan gambar lokasi berkenaan dengan perkataan DIHARAMKAN sehingga mencetuskan kekalutan dan persoalan dari jemaah yang baru tiba di Tanah Suci.

Menurut Pengarah Urusan Zainal Kembara, Zainal Abidin Yusof, jemaah tidak perlu risau mengenai mesej yang tular itu kerana terbukti mereka boleh menjejakkan kaki ke tempat berkenaan. 

Beliau yang turut dihujani pertanyaan berkata, mesej itu menakutkan jemaah termasuk waris mereka di tanah air.

Katanya, jika agensi pengendali umrah mempunyai permit sah dari Kementerian Haji untuk membawa jemaah berziarah tidak timbul sebarang masalah seumpama itu.

Kumpulan jemaah masih dibenarkan mengunjungi di beberapa lokasi di sekitar kota suci Makkah.

"Sebahagian besar pengendali umrah mendapat permit bas daripada syarikat yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan tiada larangan untuk berziarah, " katanya ketika ditemui di Jabal Rahmah.

Sehingga lewat petang Sabtu ramai jemaah yang membangkitkan perihal larangan yang dimomokkan menerusi WhatsAap sehingga mencetuskan kebimbangan dan tanda tanya.

Bagaimanapun, Jabal Tsur dan Jabal Nur tidak termasuk dalam aturcara jemaah umrah sejak kebelakangan ini bagi mengelakkan kesesakan serta perbuatan khurafat di kalangan segelintir jemaah dari negara lain.

Tags / Kata Kunci: umrah , Makkah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan