Jenazah Nurliyana selamat dikebumikan - Berita Semasa | mStar

Jenazah Nurliyana selamat dikebumikan

Diterbitkan: Sabtu, 21 April 2018 11:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jenazah pesakit para tiroid, Nurliyana Abdul Raziff, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 6 Banting, Selangor kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

Nurliyana menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perkara tersebut disahkan bapanya, Muhammad Radzi, 55, yang memaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat.

Terdahulu, solat jenazah dijalankan di Masjid At Taqwa, Banting, kira-kira pukul 9 pagi Sabtu.

"Alhamdulillah, jenazah along (Liyana) selamat dikebumikan pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Bt 6 Banting.Terima kasih kepada saudara mara dan sahabat-sahabat yang datang menziarahi along.

"Kepada warga Facebook dan netizen yang sentiasa mendoakan along, saya bagi pihak keluarga along mengucapkan ribuan terima kasih. Semoga Allah membalas budi anda semua," tulis Muhammad Radzi di laman Facebooknya.

Pada 13 April lalu, Liyana menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar para tiriod di bahagian lehernya.

Selepas pembedahan itu Liyana terpaksa di bedah sekali pada Selasa lalu bagi membuat saluran pernafasan selepas dilaporkan mengalami masalah pernafasan disebabkan kandungan karbon dioksida di dalam badannya tinggi.

Kisah penderitaan Nurliyana yang disahkan menghidap para tiroid sejak 2016 menjadi tular di media sosial sebelum ini.

Kesengsaraan jelas terpapar pada wajah Liyana apabila tulang rahangnya kini membesar hingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatan.

Malah, lebih memilukan berat badannya turut menyusut daripada 55 kilogram (kg) hingga kini hanya 23 kg, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.

Tags / Kata Kunci: Nurliyana , para tiroid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan