Raja Bomoh tanding, Zahid tak kisah siapa lawan - Berita Semasa | mStar

Raja Bomoh tanding, Zahid tak kisah siapa lawan

Diterbitkan: Khamis, 19 April 2018 8:16 AM

Ahmad Zahid Hamidi.

(Ubah saiz teks)

HUTAN MELINTANG: Sesiapa sahaja dialu-alukan sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk pada PRU14, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau merupakan penyandang Parlimen itu berkata, ia terserah kepada pengundi Bagan Datuk sendiri yang akan menentukan parti atau individu yang akan memberikan kesinambungan serta perkhidmatan yang terbaik.

“Saya tentunya tidak dapat menolak parti atau individu yang berniat untuk bersama-sama memberi makna demokrasi di Bagan Datuk ini.

“Tentu sekali rakyat Bagan Datuk boleh menilai siapakah pemimpin yang bermusim yang datang setiap kali musim menuai tiba dan oleh kerana Bagan Datuk tiada musim buah, kita cuma ada kelapa dan juga kelapa sawit maka musim buah tidak seharusnya tiba di Bagan Datuk,” katanya.

Ibrahim Mat Zin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh Malaysia’ untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon Bebas.

Ahmad Zahid juga meminta agar anak-anak muda yang berhijrah ke bandar untuk pulang pada 9 Mei nanti untuk mengundi.

“Yang duduk luar dari Bagan Datuk baliklah mengundi kerana hari berkenaan telah diumumkan sebagai cuti umum,” katanya.

Pada PRU13 Ahmad Zahid menang kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Raja Bomoh , Bagan Datuk , Ahmad Zahid Hamidi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan