Hantar peluru hidup, nota ugut tindakan pengecut! - SPRM - Berita Semasa | mStar

Hantar peluru hidup, nota ugut tindakan pengecut! - SPRM

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2018 3:17 PM

Dzulkifli Ahmad

Dzulkifli Ahmad.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan perbuatan menghantar peluru hidup dan nota berbaur ugutan ke rumah pegawai kanannya baru-baru ini sebagai tindakan pengecut.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata perbuatan itu tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

"Malahan, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah dan salah guna kuasa di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Dzulkifli, dua pegawai yang menerima bungkusan mengandungi peluruh hidup dan nota berbaur ugutan itu telah membuat laporan polis.

"SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan itu," katanya.

Pada masa sama, Dzulkifli turut berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Dua pegawai kanan SPRM dilaporkan menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan yang diletakkan dalam peti surat di rumah mereka, pada Ahad dan Isnin.

Difahamkan perbuatan itu berikutan beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat SPRM sejak kebelakangan ini.

Tags / Kata Kunci: SPRM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan