Jangan putus asa, SPAD beri masa tiga bulan kepada pemandu teksi - Berita Semasa | mStar

Jangan putus asa, SPAD beri masa tiga bulan kepada pemandu teksi

Diterbitkan: Isnin, 16 April 2018 9:06 AM

Pemandu Teksi Mohamed Drapor menunjukkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia yang diterimanya. -Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemandu teksi yang belum menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia mereka, tidak harus berputus asa kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menetapkan tempoh selama tiga bulan sehingga 16 Julai kepada semua pemandu untuk menuntut kad mereka.

SPAD berkata, pihaknya akan terus mengedarkan lebih banyak kad bantuan kepada pemandu teksi pada Isnin, sambil menambah bahawa kad itu akan diaktifkan sebaik sahaja ia diperoleh oleh pemandu.

Kad tersebut boleh digunakan untuk membeli petrol atau gas asli di stesen Petronas di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata, kira-kira 67,000 pemandu teksi di seluruh negara akan mendapat manfaat bernilai RM800 seorang melalui kad bantuan tersebut.

Pemandu teksi juga mendapat kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra Petronas, termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM50,000 melalui kad bantuan berkenaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kad itu akan diagihkan oleh SPAD dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dan melibatkan dana sebanyak RM53.6 juta.

"Saya percaya dengan penggunaan kad bantuan itu, ia dapat mengurangkan kos operasi harian dan dengan itu meningkatkan lagi pendapatan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kad bantuan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Jumaat.

Tags / Kata Kunci: Kad Bantuan Teksi 1Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan