Duit pemberian MB lesap dalam akaun, pengusaha kantin merintih cari tempat mengadu - Berita Semasa | mStar

Duit pemberian MB lesap dalam akaun, pengusaha kantin merintih cari tempat mengadu

Diterbitkan: Isnin, 16 April 2018 2:56 PM

Norshamili membuat laporan polis berhubung wang dalam akaun simpanannya yang lesap di luar pengetahuannya. - Facebook

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rintihan seorang wanita menerusi laman sosial yang mengadu tentang wangnya lesap 'sekelip mata' dari sebuah bank di Seremban, Negeri Sembilan mengundang simpati netizen.

Norshamili.

Norshamili Osman, 41, yang teresak-esak dalam rakaman video berdurasi lebih 17 minit itu meluahkan kekesalannya apabila mendakwa dirinya teraniaya dan tidak mendapat bantuan sewajarnya oleh bank berkenaan setelah bertanya tentang kehilangan wang sejumlah RM1,000.

Tambah mengelirukan, dia yang mendakwa tidak pernah menggunakan perkhidmatan perbankan atas talian telah dimaklumkan oleh bank tersebut bahawa dia sendiri yang memindahkan wang berkenaan ke akaun bank seorang wanita yang tidak dikenalinya.

"Bukankah kalau nak pindahkan duit perlukan Kod Kebenaran Transaksi (TAC) dan ia akan dihantar ke nombor telefon pemilik akaun?

"Tapi saya tidak pernah menggunakan perbankan atas talian dan nombor yang didaftarkan untuk melakukan pemindahan wang itu juga bukan nombor telefon saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Setakat ini, video tersebut sudah menerima sebanyak 1,638 perkongsian dan 970 tanda suka (like).

Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, wang tersebut adalah pemberian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disampaikan pada Rabu lalu sebagai bantuan untuk Norshamili menjalankan perniagaan kantinnya.

Norshamili meluahkan kekecewaannya menerusi akaun Facebook pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, wang yang disampaikan dalam bentuk cek itu disedari telah lesap apabila Norshamili menyemak baki yang terdapat dalam akaunnya. 

Wanita yang menetap di Lukut, Negeri Sembilan itu melalui video tersebut turut menunjukkan laporan polis yang dibuat olehnya atas nasihat pihak bank.

Namun, laporan yang dibuat didakwa seakan-akan tidak dapat membantunya mendapatkan kembali wang tersebut apabila memberitahu pihak bank enggan memberikan kerjasama untuk menghubungi pemilik akaun yang memegang wangnya kini.

"Pihak bank ada berikan nombor telefon wanita itu, tapi bila saya cuba hubungi, nombor itu sudah tiada dalam perkhidmatan.

"Saya merayu agar pihak berkaitan memulangkan semula wang tersebut kerana ia amat bermakna untuk saya dan keluarga," kata pengusaha kantin di sekolah memandu di Port Dickson itu.

Wanita itu berkata, terdapat beberapa kes yang mana pihak bank akan menghubungi pihak ketiga yang menerima wang daripada pelanggan yang tersalah melakukan pemindahan wang, untuk memulangkan semula wang tersebut.

Namun, Norshamili buntu apabila mendakwa pihak bank enggan membantunya sedangkan dia tidak melakukan transaksi tersebut dan terdapat rekod bahawa pihak ketiga menerima wang daripada akaunnya.

Tags / Kata Kunci: duit lesap , perbankan atas talian
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan