Balu Nik Aziz campur tangan elak sengketa politik anak - Berita Semasa | mStar

Balu Nik Aziz campur tangan elak sengketa politik anak

Diterbitkan: Ahad, 15 April 2018 9:40 AM

Tuan Sabariah Tuan Ishak.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Cakap-cakap mengenai persaingan politik antara anak Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nampaknya mulai reda.

Ibu mereka, Tuan Sabariah Tuan Ishak nampaknya terpaksa campur tangan bagi memastikan tidak wujud persengketaan dalam keluarga tersebut.

Difahamkan Tuan Sabariah enggan merestui kehendak anak sulungnya, Nik Omar Nik Aziz untuk menyertai Amanah, parti serpihan PAS dan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan bagi menentang parti Islam itu.

Anak keempatnya, Nik Abduh Nik Aziz yang juga penyandang Parlimen Pasir Mas, amat setia kepada PAS.

Nik Abdul Aziz mempunyai 10 orang anak termasuk lima lelaki tetapi hanya Nik Abduh aktif dalam politik.

Namun, dua tahun lalu, Nik Omar yang juga pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka, bersetuju untuk menyertai Amanah dalam satu majlis di Petaling Jaya.

Amanah telah menawarkannya jawatan Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Namun sebelum dia mengisi borang keahlian Amanah, ibunya telah membantah tindakan tersebut, kata sumber.

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir mengesahkan Nik Omar masih belum mengisi borang keahlian parti itu.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim berkata bukan sesuatu yang mengejutkan jika Nik Omar akhirnya menyertai Amanah kerana dia bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang menyokong penubuhan parti itu.

Ikram adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.

"Walaupun Nik Omar akan menyertai Amanah, ia tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana dia tidak memainkan peranan besar dalam arena politik.

"Dia bebas membuat pilihan selaras dengan amalan demokrasi," kata Nazman.

Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata parti itu cuba memikat Nik Omar sebagai sebahagian daripada langkah strategik untuk memastikan legasi Nik Aziz diteruskan.

Beberapa tahun lalu, Nik Omar pernah meminta PAS untuk kekal di bawah Pakatan kerana parti itu tidak berupaya bergerak bersendirian.

Nik Abduh memilih untuk berdiam diri mengenai khabar angin abangnya menyertai Amanah dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Tags / Kata Kunci: Nik Abduh , Nik Omar , PRU14
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan