Pengarah Urusan Supermax mohon maaf kepada PM - Berita Semasa | mStar

Pengarah Urusan Supermax mohon maaf kepada PM

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2018 7:19 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corp Bhd  Datuk Seri Stanley Thai  menzahirkan rasa kesal kerana terlibat berkempen untuk pembangkang pada pilihan raya umum ke-13  (PRU13).

Semasa mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media pada Sabtu, Thai berkata beliau terpengaruh dengan propaganda pembangkang pada pilihan raya umum sebelum ini, dan sedar bahawa adalah salah untuk beliau sebagai seorang ahli perniagaan untuk terlibat dalam politik.

“Sebagai seorang anggota komuniti perniagaan, saya mahu menyaksikan  kestabilan politik. Perniagaan-perniagaan yang beroperasi di Malaysia akan terus maju dan makmur dengan dasar-dasar  ekonomi kukuh dilaksanakan kerajaan memerintah yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

“Pelabur-pelabur asing akan terus mempunyai keyakinan penuh untuk turut serta dan memacu pertumbuhan ekonomi dan terus meningkatkan lagi pelaburan mereka di Malaysia,” katanya.

Pada sidang media itu, Thai turut menyatakan rasa kesal dengan cara kerajaan negeri Selangor menguruskan isu air, kerana ia telah menyebabkan Supermax, satu daripada pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, kerugian jutaan dollar dan menjejaskan pertumbuhannya.

“Dua projek terbaru kami telah tertangguh selama dua setengah tahun sehingga  tiga tahun disebabkan isu bekalan air di Selangor, di mana kebanyakan  kilang kami terletak,” katanya dan menurutnya Supermax mempunyai sebanyak 11 kilang di seluruh negara dan lapan daripadanya terletak di Selangor.

Thai  berkata beliau percaya tadbir urus dan pengurusan baik merupakan kunci kepada  pertumbuhan industri dan bahawa beliau akan terus menyokong penuh dasar-dasar kerajaan.– Bernama

Tags / Kata Kunci: Stanley Thai , PM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan