“Teruskan buat kebaikan...” - Puteri Sultan Selangor - Berita Semasa | mStar

“Teruskan buat kebaikan...” - Puteri Sultan Selangor

Diterbitkan: Rabu, 11 April 2018 9:00 AM

Tengku Zatashah bergambar dengan pelajar dan guru ketika melawat SMK USJ12 sebagai sebahagian daripada aktiviti kempen #Standtogether.

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Minggu Kebaikan Kebangsaan #StandTogether mungkin sudah sampai ke penghujungnya, namun puteri Sultan Selangor berharap agar semangat dan inisatif yang ditunjukkan pelajar dan guru di seluruh negara akan berterusan sepanjang tahun.

"Melihat bagaimana pelajar mengambil bahagian dalam membina persekitaran sekolah yang lebih baik adalah sesuatu yang amat membanggakan.

"Mereka adalah individu yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan. Menjadi contoh kepada orang ramai boleh dimulakan pada usia muda," kata Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau yang menyokong program #StandTogether sejak ia diperkenalkan tahun lalu berkata demikian ketika melawat SMK USJ12 sebagai sebahagian daripada aktiviti kempen berkenaan.

Sejak seminggu lalu, pelajar di SMK USJ12 menghimpunkan mesej-mesej positif dalam kotak kebaikan (Kindess Box) yang setersunya dipaparkan di papan khas, Kindness Board.

Malah, mereka turut mengumpul pencalonan bagi 'Hero Project', bertujuan memilih wira dalam kalangan guru dan pelajar yang banyak memberi inspirasi kepada orang lain.

10 wira berkenaan menerima anugerah ketika perhimpunan sekolah pada Isnin.

"Saya menangis apabila membaca nota yang menyatakan mengapa saya dicalonkan untuk anugerah ini.

"Saya hanya melaksanakan tugas saya. Tapi anugerah ini mengingatkan saya kenapa saya memilih kerjaya ini. Ia juga menyemarakkan semangat saya untuk terus memberi yang terbaik," kata Tan May Peng, guru yang terpilih untuk Hero Project.

Kedatangan Tengku Zatashah ke SMK USJ12 merupakan hadiah yang dimenangi sekolah itu dalam penyertaan mereka untuk pertandingan kebaikan #StandTogether.

Kemenangan itu membolehkan sekolah menerima geran RM1,000 untuk menjalankan projek termasuklah lawatan selebriti.

Dalam pada itu, ketua skuad #StandTogether SMK USJ12, Jessie Gan, 17, berkata pengalaman dirinya dibuli di sekolah rendah menjadi ilham kepada wujudnya Kindness Box dan Hero Project.

Jelasnya, dia sering dibuli dan dipinggirkan sehinggalah dia masuk ke sekolah itu dan bertemu rakan-rakan yang baik.

"Saya tidak mahu mana-mana rakan sekolah saya merasakan apa yang saya rasa pada masa itu dan ia memberikan idea untuk mewujudkan Kindness Board dan Hero Project Hero," katanya.

Minggu Kebaikan Nasional yang bermula 2 April lalu menyaksikan penglibatan lebih 620 sekolah yang melaksanakan aktiviti bagi membendung keganasan dan buli.

Sekolah-sekolah terlibat turut diberi panduan tentang Minggu Kebaikan termasuklah aktiviti bilik darjah, permainan dan aktiviti peringkat sekolah untuk membanteras kegiatan buli.

"Dengan kes buli yang semakin meningkat, melihat usaha murni R.AGE, Unicef, Kementerian Pendidikan dan SP Setia berkolaborasi untuk menjayakan kempen ini adalah sesuatu yang menyenangkan," kata timbalan pegarah bahagian perancangan dan penyelidikan Kementerian Pendidikan, Fakhriyyah Muhardi.

Kemuncak kempen Minggu Kebaikan Nasional akan berakhir dengan Karnival #StandTogether pada 15 April ini di Pusat Konvensyen Setia City.

Untuk maklumat lanjut, layari fb.com/StandTogetherMY.

Tags / Kata Kunci: StandTogether , Tengku Zatashah , buli
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan