Kera mengganas! - Berita Semasa | mStar

Kera mengganas!

Diterbitkan: Rabu, 11 April 2018 9:06 AM

Kelihatan kera sedang menyelongkar tong sampah milik penduduk di situ. Foto Sinar Online

(Ubah saiz teks)

KULIM: Lebih 100 penduduk di Taman Kenari bimbang dengan masalah ancaman kera liar yang sering mengganggu mereka sejak lebih setahun lalu.

Suri rumah, Ngisah Hasan, 63, berkata, masalah kera liar yang mengganggu dan menyerang rumah penduduk di sini sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Katanya, kera ini akan masuk ke dalam rumah melalui bumbung dan mencuri makanan.

“Ada lubang-lubang kecil, tingkap pecah pun kera akan masuk, depa curi makanan terutama sekali telur ayam.

“Makanan kucing yang diletakkan di kawasan parkir dalam pagar rumah juga habis dikacau dan diselerakkan. Pokok buah yang ditanam penduduk juga tak sempat nak rasa hasilnya, habis dicuri kera.

“Nak tinggal rumah pun takut, nak pergi mana-mana mesti kena ada seorang jaga di rumah kalau tak habis rumah dipunggah dan diselerakkan,” katanya.

Selain itu, seorang lagi suri rumah, Siti Nur Suhana Zulkifli, 35, berkata, penduduk di kawasan taman ini terpaksa mengambil inisiatif mengikat tong sampah dan meletakkan bata.

“Tambah kalau tong sampah di luar rumah, lagilah kera ini selongkar. Kami ambil getah ikat pun dia tarik buang, tong sampah pun depa tendang.

“Habis bertabur sampah, kami pula nak kena sapu dan kemas semula. Kadangkala kami terpaksa simpan sampah sampai tiga hingga empat hari. Bayangkanlah bau sampah dalam rumah,” katanya.

Malah, katanya keselamatan kanak-kanak juga terancam dan menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian.

“Kami halau depa tak takut, lagi mai (datang) dekat nak terkam. Kadang-kadang kita dekat dalam anak bermain di luar pun rasa tak tenang kerana takut diserang pula dengan kera ini,” katanya.

Selain itu, Abdul Samat Lebai Salleh, 64, berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengajukan perkara itu kepada pihak Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di kawasan tersebut, namun masih tiada tindakan dijalankan.

“Kami dimaklumkan JPP telah pun memanjangkan isu ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini masih belum ada tindakan lanjut.

“Kami bukan nak marah sesiapa, cuma kami takut ancaman kera liar ini makin lama makin mengganas, depa tak takut kepada manusia, halau pun depa mai balik,” katanya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: kera
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan