Peniaga, pemandu teksi mengaku tidak bersalah rompak warga Bangladesh - Berita Semasa | mStar

Peniaga, pemandu teksi mengaku tidak bersalah rompak warga Bangladesh

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2018 3:01 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap dua lelaki rakyat Bangladesh pada Selasa  lepas.

Peniaga Nor Hazrin Abdul Rafar, 33, dan pemandu teksi Yahaya Abdul Wahid, 35, pemandu teksi dituduh melakukan rompak berkumpulan terhadap Salam Md Abdus dan Md Hafizur Rahman dengan mengambil  wang tunai RM1,330 dan dua telefon bimbit milik kedua-dua mangsa.

Mereka dituduh  melakukan kesalahan itu di Jalan Morib, Off Jalan Klang Lama, Brickfields pada 2.15 petang, 3 April lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun peguam Mohd Zaidi Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin yang rendah dengan beberapa syarat tambahan.

Hakim  Mohd Ghazali Mohamad Taib  tidak membenarkan kedua-dua lelaki itu  diikat  jamin dan menetapkan 23 April untuk sebutan semula kes. - Bernama

Tags / Kata Kunci: rompak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan